
KUALA TERENGGANU: Kerajaan PH-BN yang ada pada hari ini tidak fokus dan lebih suka berpolitik sehingga hal ekonomi rakyat diabaikan, kata Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu itu juga menyifatkan kerajaan Madani bermentaliti seperti pembangkang.
Ini, katanya kerana pemimpin kerajaan itu hanya cuba mencari kesalahan pimpinan kerajaan terdahulu.
Sedangkan, katanya kerajaan terdahulu berusaha untuk menyelesaikan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika itu
Beliau juga menjawab tohmahan yang dilemparkan oleh Pengerusi Barisan Nasional negeri, Dato’ Seri Ahmad Said yang mempersoalkan tindakannya semasa menjadi ahli parlimen penggal yang lalu.
“Saya nak beritahu, dia boleh berkumpul boleh berucap di pentas yang terbuka adalah kerana kejayaan kita dapat memulihkan masalah Covid-19.
“Tanggungjawab yang diberi kepada saya dahulu sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang mana kementerian ini diberi tanggungjawab besar ketika negara berhadapan wabak pandemik Covid-19 untuk menjayakan kunci pemulihan negara dan nyawa iaitu program vaksinasi,” ujarnya.
Amzad menyatakan demikian Ketika berucap pada majlis Ceramah Mega Pengenalan Calon PRK P.036 Kuala Terengganu dan PRN 15 Negeri Terengganu di Kuala Ibai, malam tadi.
Turut berucap ialah Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga calon DUN Ru Rendang, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Ustaz Ahmad Shah Muhamed (Bandar) dan Calon N15 Ladang, Zuraida Md Noor (Ladang).
Mengulas PRK Parlimen Kuala Terenggau dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, beliau yakin dapat mempertahankan kerusinya itu dengan majoriti yang lebih besar.
Beliau turut memberi keyakinan dapat mempertahankan dan mengulangi kemenangan 5-0 di Kuala Terengganu pada PRU14 lalu termasuk empat Dun iaitu Wakaf Mempelam, Bandar, Batu Buruk dan Ladang.
Beliau memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 lalu selepas memperoleh 63,016 undi manakala calon BN, Datuk Mohd Zuber Embong (22,109 undi), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PH – 10,946) dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar (Pejuang – 481).
Pada PRU14, beliau memenangi kerusi parlimen itu dengan majoriti 14,773 undi apabila mendapat 42,988 undi manakala calon BN, Wan Nawawi Wan Ismail dan PKR, Raja Bahrin masing-masing memungut 28,215 dan 15,380 undi.
Pada PRK kali ini yang diadakan serentak dengan PRN, Amzad dicabar oleh calon PH, Azan Ismail. – HARAKAHDAILY 30/7/2023




















