
BACHOK: Kehadiran bekas wakil rakyat yang turut membantu gerak kerja kempen melegakan calon baharu yang bertanding memandangkan mereka sudah lama dikenali masyarakat.
Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) yang diwakili PAS di DUN Jelawat, Zameri Mat Nawang berkata, mantan Adun Jelawat, Abdul Azziz Kadir turut menyantuni masyarakat setempat.
Katanya, kehadiran Cikgu Azziz lebih memudahkan gerak kerja kempen kerana orang ramai sudah lama mengenalinya.
“Kami berganding bahu bersama jentera kempen turun padang keluar masuk kampung menemui penduduk,” katanya yang juga seorang peguam ketika ditemui.
Begitu juga calon PN Tawang, Ustaz Harun Ismail, 52, yang bergandingan dengan mantan Adun di kawasan berkenaan, Dato’ Hassan Mohamood.
“Saya akan meneruskan kerja-kerja yang dilakukan Ustaz Hassan sebelum ini, selain menambah baik lagi program sedia ada,” katanya yang juga bekas Penolong Pengarah di Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Beliau juga menggunakan pendekatan medial sosial dan mengadakan program seperti sukan serta rekreasi bagi mendekati golongan muda.
Walaupun Tawang dikenali sebagai kubu PAS, katanya cabaran pihak lawan tidak boleh dipandang rendah.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Harun berdepan Mat Isa Che Dir dari Amanah, manakala Zameri berdepan saingan tiga penjuru, iaitu Datuk Yusri Che Noh (BN) dan Baba Zul (bebas). – HARAKAHDAILY 30/7/2023




















