
PADA tahun 2008, satu peristiwa besar telah berlaku di Pulau Pinang pada ketika itu apabila Barisan Nasional telah berjaya ditumbangkan oleh Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS-PKR-DAP dengan memenangi sebanyak 29 kerusi DUN di Pulau Pinang.
DAP memenangi 19 kerusi DUN, PKR 9 dan PAS memenangi kerusi tunggalnya di Permatang Pasir. Setelah itu Lim Guan Eng yang memenangi kerusi DUN Air Putih telah dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dengan Mohammad Fairus Khairuddin menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 dan P. Ramasamy menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 2 sehingga ke hari ini.
Retaknya Pakatan Rakyat telah menguatkan lagi dominasi DAP dan Pakatan Harapan ke atas Pulau Pinang. Dalam Pilihan Raya Umum ke 14 pada tahun 2018, Pakatan Harapan telah hampir mendominasi sepenuhnya kerusi DUN Pulau Pinang dengan memenangi 37 kerusi DUN, Barisan Nasional 2 manakala PAS memenangi DUN Penaga menerusi Ustaz Yusni Mat Piah.
Oleh itu sejak 2018, Pulau Pinang bolehlah dianggap sebagai negeri selamat atau deposit tetap buat Pakatan Harapan terutamanya DAP. Jika pada ketika itu mana-mana parti politik atau gabungan kerjasama politik yang berkata ia mampu merampas Pulau Pinang daripada DAP atau Pakatan Harapan, ia adalah angan-angan Mat Jenin atau mimpi yang tidak mampu dicapai.
Revolusi politik yang berlaku di dalam negara pada Mac 2020 telah melahirkan PERIKATAN NASIONAL yang telah mentadbir Malaysia sehingga Ogos 2021 dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri. Ketika itu Malaysia berhadapan dengan bencana wabak pandemik Covid-19 yang turut menyebabkan kelembaban ekonomi sehingga menyukarkan kehidupan rakyat.
Namun Malaysia dan rakyatnya mampu mengharungi masa yang sukar ini dengan berjaya keluar dari bencana wabak pandemik Covid-19 di samping segenap lapisan masyarkat diberikan pelbagai jenis bantuan oleh kerajaan pada ketika itu dalam usaha untuk meringankan beban mereka.
Ternyata apa yang dilakukan oleh kerajaan yang diterajui PERIKATAN NASIONAL pada ketika itu melekat di hati rakyat di samping memperlihatkan kemampuan mentadbir negara.
Walaupun tidak lama selepas itu tampuk pentadbiran negara bertukar tangan dengan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, anggota pentadbirannya hampir sama dan majoriti daripada apa yang diputus serta dijalankan oleh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap diteruskan dengan jayanya.
Akibat daripada itu, rakyat semakin dekat dan menyokong PERIKATAN NASIONAL walau ia cuba dinafikan banyak pihak. PRU15 menyaksikan kecemerlangan PERIKATAN NASIONAL dengan memenangi 74 kerusi Parlimen termasuk memenangi 3 daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang dengan Barisan Nasional tewas di semua kawasan parlimen yang ditandinginya di Pulau Pinang.
Ternyata ‘gelombang rakyat’ yang diterajui oleh PERIKATAN NASIONAL menggerunkan lawan dan musuh. Walaupun begitu ramai yang percaya PERIKATAN NASIONAL tidak mampu menjejas dan menawan kubu kuat DAP dan Pakatan Harapan di Pulau Pinang walau berlaku peningkatan undi yang agak drastik kepada PERIKATAN NASIONAL.
Namun ramai juga yang percaya bahawa PERIKATAN NASIONAL mampu menggagalkan usaha DAP dan Pakatan Harapan untuk mengekalkan majoriti dua pertiga di dalam DUN Pulau Pinang dengan jangkaan memenangi 14 kerusi DUN di kawasan majoriti Melayu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menyatakan bahawa PERIKATAN NASIONAL mampu memenangi hampir 20 kerusi DUN di Pulau Pinang dan jika berusaha gigih mampu memenangi 21 kerusi DUN untuk mendapat “simple majority” bagi menawan dan membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang.
Di antara sebab mengapa Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian adalah kerana jangkaan pola pengundian di beberapa kerusi DUN campuran di Pulau Pinang akan beralih arah dan memihak kepada PERIKATAN NASIONAL kerana ketika ini gelombang rakyat begitu kuat melanda Pulau Pinang.
Jangan dilupa, ‘fenomena Sanusi’ yang sedang melanda negara ketika ini yang memberikan pengaruh dan lonjakan besar kepada PERIKATAN NASIONAL di Pulau Pinang. Apa yang berlaku kepada YAB Menteri Besar Kedah baru-baru ini memberikan “moral boost” kepada jentera PERIKATAN NASIONAL di Pulau Pinang untuk berkerja lebih kuat dan gigih menumbangkan DAP dan Pakatan Harapan di Pulau Pinang.
Oleh itu jika tidak dikekang dan dihalang kebangkitan gelombang rakyat dan fenomena Sanusi, DAP dan Pakatan Harapan bakal berkubur di Pulau Pinang. Maka disebabkan itu, YAB Menteri Besar Kedah diserang begitu hebat dengan matlamat untuk menghakis dan menjatuhkan kredibilitinya sekali gus PERIKATAN NASIONAL.
Namun DAP dan Pakatan Harapan sedar ia bukan tugas mudah dan amat berhati-hati untuk mengatur langkah mereka kerana silap langkah, mereka bukan sahaja hilang 3 negeri yang dikuasai mereka tetapi bakal meranapkan penguasaan mereka di peringkat persekutuan. Oleh itu bersiap sedialah, kerana lebih banyak cabaran dan jalan berliku yang bakal kita tempuhi.
Bak kata Sanusi, “kita bukan sahaja pertahan 3 buah negeri (Kedah, Kelantan, Terengganu) tetapi kita mesti tawan 3 lagi negeri (Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan)”.
Dahulu, untuk mengalahkan DAP dan Pakatan Harapan di Pulau Pinang, ia lebih kepada mimpi dari realiti tetapi saat ini mimpi bakal menjadi kenyataan.
“Penang Try Kalih”
“Malaysia Sejahtera”
DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 26/7/2023




















