
KUALA LANGAT: Timbalan Ketua Wanita PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Selangor, Wan Harina Wan Hassan mengajak semua jentera wanita membantu perjuangan PN yang suci tanpa mengharapkan habuan.
Beliau berkata semua jentera Wanita PN perlu sama-sama mengikhlaskan diri dalam melaksanakan tugas yang penting itu.
Katanya, kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) amat penting untuk membentuk kerajaan negeri Selangor.
“Kita tidak mahu menang dengan kerusi yang hanya 20 atau 25 kerusi sahaja tetapi paling kurang 30 kerusi.
“Paling selesa 35 kerusi dan lebih selesa 56 DUN kita menang. Walaupun mustahil tapi insya-Allah kemenangan hak Allah,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Wanita PERIKATAN NASIONAL di Batu 7, Sijangkang, di sini, petang ini.
Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS negeri berkata, jumlah pengundi seramai 3.8 juta perlu kepada penggemblengan tenaga dan hubungan yang rapat dalam parti.
“Musuh PERIKATAN NASIONAL sentiasa untuk memecahbelahkan kita. Kita jangan membuat sesuatu yang boleh atau merenggangkan hubungan antara kita.
“Kita tidak mahu di kalangan kita mencipta masalah dalamam daripada bertembung dengan PH-BN,” ujarnya.
Pelancaran Jentara Wanita PERIKATAN NASIONAL akan dilaksanakan oleh Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Mohammad Azmin Ali. Turut hadir timbalannya, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi. – HARAKAHDAILY 9/7/2023




















