
GEORGETOWN: Kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak beragama di Pulau Pinang jika menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti merupakan kenyataan bersifat rasis dan tidak berasas.
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Abdul Razib Abdul Rahim berkata, selain itu kenyataan terbabit membuktikan DAP sangat terdesak dengan kebangkitan PERIKATAN NASIONAL (PN) di Pulau Pinang.
“PN dalam pilihan raya negeri menjadi ancaman utama kepada DAP khususnya kerajaan Pulau Pinang yang diperintah oleh mereka, lebih-lebih lagi selepas melihat sokongan kebangkitan orang Melayu khususnya kepada PN setelah mereka ditipu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang telah mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” ujarnya yang dihubungi Harakahdaily.
Menurutnya, kebimbangan itu semakin menular apabila 15 kerusi Melayu dianggap sebagai kerusi tergugat kepada PH-BN sekali gus memberi kelebihan kepada PN pada pilihan raya negeri nanti.
Katanya, oleh itu kenyataan Guan Eng cenderung menyerang PAS iaitu parti komponen yang berada dalam PN.
Tegasnya, kenyataan Guan Eng tidak tepat malah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedia maklum kemakmuran pemerintahan PAS di Kelantan sejak 30 tahun lalu.
“Belum ada mana-mana tempat ibadah agama Buddha, Hindu yang diroboh di Kelantan. Belum ada orang Cina, India yang dizalimi.
“PAS pernah memerintah negeri Terengganu juga memberi keadilan kepada masyarakat bukan Melayu. Bahkan bukan Melayu semakin kuat memberi sokongan kepada kerajaan negeri Terengganu yang diterajui PAS,” ulasnya.
Justeru kata Razib, PAS Pulau Pinang akan membuat laporan polis pada hari ini berhubung dakwaan terbabit supaya siasatan dapat dilakukan sebagai amaran tegas agar tidak bermain dengan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum sama ada daripada parti kerajaan mahupun pembangkang. – HARAKAHDAILY 9/7/2023




















