
KUALA LUMPUR: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi peluang untuk membuat permohonan menyambung pelajaran ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menggunakan UPUOnline® sebanyak tiga sesi akademik.
Sebagai contoh, lepasan SPM 2021 yang layak tetapi gagal permohonan UPUOnline® Sesi Akademik 2022/2023, boleh membuat permohonan pada Sesi Akademik 2023/2024 dan Sesi Akademik 2024/2025.
Selain itu, pelajar boleh menggunakan keputusan peperiksaan ulangan yang ditampal di SPM.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal berkata, perkara itu adalah antara usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membantu pelajar yang layak, tetapi gagal mendapat tempat di IPTA.
Menurutnya, usaha lain kementerian ialah pelajar boleh membuat permohonan rayuan dengan penawaran permohonan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat jika pelajar yang berjaya pada fasa pertama menolak tawaran.
“Pelajar yang membuat permohonan rayuan hanya akan ditawarkan program pengajian luar pilihan jika mereka menyatakan persetujuan untuk menerima program pengajian di luar pilihan semasa mengemukakan permohonan rayuan di UPUOnline®.
“KPT melalui Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti, telah memudahkan proses kemasukan. Ini bermaksud permohonan boleh dibuat sama ada melalui UPUOnline® atau secara walk-in terus dengan sesebuah institusi tersebut.
“Prosedur yang sama juga berlaku di empat Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang menyertai UPU,” katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Prof Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan strategi KPT untuk menolong seramai hampir 90,000 pemohon lepasan SPM tahunan yang layak tetapi gagal mendapat tempat di IPTA.
Mohammad Yusof berkata, politeknik, kolej komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) turut dilibatkan dalam program promosi Jom Masuk U.
Melalui UPUOnline®, katanya pelajar bebas membuat pilihan bidang yang ingin dipelajari di peringkat pendidikan tinggi namun kejayaan pelajar mendapat tempat di IPTA bukan hanya melihat kepada pencapaian akademik, tetapi bergantung kepada beberapa faktor.
Katanya, ini termasuk kedudukan merit, memenuhi syarat am dan syarat khas yang ditetapkan, bilangan tempat yang disediakan serta lulus temu duga atau ujian bagi program pengajian yang menetapkan keperluan berkenaan. – HARAKAHDAILY 22/6/2023




















