
KOTA BHARU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Tiong Kiong Sing dianggap tidak sesuai menggalas tanggungjawab sebagai menteri memandangkan banyak kenyataannya sebelum ini kontroversi.
Psikososio dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Zulkeflee Yaacob berkata, banyak kenyataannya tidak sensitif dan kurang konstruktif.
Antaranya kata beliau kenyataan berkaitan jangan takutkan pelancong dari China dan mencadangkan diwujudkan laluan mudah untuk pelancong dari negeri itu.
“Selain itu beliau menempelak pihak yang mendesak jualan arak secara terbuka dilarang dengan menganggap sebagai tidak relevan. Kenyataan itu disiar media Januari lepas.
“Media juga pernah melaporkan menteri terbabit mengatakan kewujudan kasino akan mampu memacu sektor pelancongan di Sarawak.
“Berdasar kenyataan itu jelas menteri berkenaan seperti tiada idea merancang polisi bagi memperkasakan kebudayaan dan kesenian tempatan untuk meningkat sektor pelancongan,” katanya di sini.
Pada 13 Januari lepas Tiong King Sing menganggap desakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohd Jan supaya pusat membeli-belah di Seberang Jaya menghentikan penjualan arak secara terbuka dianggap tindakan tidak relevan.
Menurutnya ahli Parlimen Permatang Pauh sepatutnya lebih memahami Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan agama.
Malah pada Mei lepas menteri sama dilapor yakin dengan adanya taman permainan dan padang golf termasuk kasino di Borneo boleh memajukan lagi sektor pelancongan di Sarawak.
Oleh itu Dr Zulkeflee juga berkata, berdasar kepada perkembangan itu jelas menteri dari Sarawak terbabit paling gagal selepas Rafizi Ramli. – HARAKAHDAILY 22/6/2023











