
BEAUFORT: PAS Kawasan Beaufort telah mengadakan inisiatif menziarahi beberapa kampung antaranya Kampung Kebatu, Kampung Kabidang dan Kampung Layung dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat di situ.
ADUN dilantik PAS Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan yang mengetuai program tersebut berkata, masyarakat kampung di kawasan itu perlu menghidupkan surau sebagai tempat komuniti masyarakat dengan memperbanyakkan majlis ilmu.
“Ketua-ketua (kampung) berperanan penting menarik lebih ramai lagi orang muda untuk mencintai rumah Allah dan mendekatkan diri mereka di surau ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena program pemasyhuran nama Surau Al-Muttaqin Kampung Layung, di sini, pada Sabtu (17 Jun) lalu.
Hadir sama dalam program berkenaan ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Beaufort, Syahrazan Mohd Noh serta beberapa ahli jawatankuasanya.
Dalam program tersebut, Dr. Aliakbar turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada pengerusi surau Kampung Layung. – HARAKAHDAILY 19/6/2023




















