
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar mengadakan dasar dan polisi bagi mengelakkan rakyat, khususnya golongan peminjam di negara ini daripada diisytiharkan muflis.
Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berkata, ia adalah kerana individu yang diisytiharkan bankrap atau muflis akan merugikan negara jika golongan tersebut dihukum dalam tempoh yang lebih lama.
“Oran-orang yang (diisytiharkan) bankrap juga adalah aset negara, dalam usaha yang produktif ini jika mereka dihukum bankrap dalam tempoh yang lama, ia amat merugikan negara,” katanya ketika perbahasan dalam bacaan kali kedua Pindaan Rang Undang-Undang Insolvensi 2023 bertujuan meminda Ajta 360, di Dewan Negara, disini hari ini.
Beliau menyatakan timbul kebimbangan terhadap kemampuan kewangan rakyat yang terkesan akibat daripada kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan ringgit yang berpotensi mendedahkan rakyat kepada risiko diisytihar bankrap.
“Golongan peniaga kecil contohnya, ramai yang menangguhkan pembayaran pinjaman ditambah dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak lima kali, maka kuasa beli mereka menjadi semakin berkurangan,
“Ini menyebabkan mereka terpaksa mengubah corak perbelanjaan sekaligus berpotensi menjejaskan aliran keuntungan kepada para peniaga kecil, micro dan sederhana (PMKS),” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pindaan akta tersebut perlu disokong bagi memastikan pentadbiran dan pengurusan isu rakyat yang diisytiharkan bankrap agar lebih cekap dan kebajikan mereka lebih terjaga.
Dalam pada itu, Dr Wan Martina turut menekankan akan fungsi dan kepentingan agensi kaunseling dan pengurusan kredit, Khidmat Kaunseling dan Pendidikan Kewangan (AKPK) dalam memberikan pendidikan kewangan kepada rakyat Malaysia lebih-lebih lagi kepada anak-anak muda.
“Saya juga ada soalan sejauh manakah peranan agensi kaunseling dan pengurusan kredit ini (AKPK) dapat membantu para peminjam menerusi perkhidmatan, penstrukturan hutang, pendidikan dan khidmat nasihat kewangan serta kesediaan bank-bank atau pemiutang berunding semula terma-terma pinjaman dengan peminjam?” katanya.
Tambah beliau, maklumat tentang AKPK perlu disebar luas kepada pengetahuan umum di semua peringkat umur, tidak kira kira jantina, anak muda, wanita, usahawan dan sebagainya.
“Kerjasama antara bank atau pemiutang dengan AKPK adalah penting dalam membantu peminjam mendapatkan khidmat nasihat terbaik dalam pengurusan kewangan dan hutang sebelum bank membuat tindakan pemohonan muflis terhadap mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2023




















