
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar lebih tegas dalam memberikan peluang kedua terhadap rakyat berkaitan isu insolvensi negara, tetapi tidak peluang ketiga buat golongan yang berfoya-foya.
Senator Mohd Apandi Mohamad berkata kerajaan perlu mengadakan satu mekanisme bagi membantu golongan yang benar-benar cuba mengaktifkan ekonomi negara tetapi terkesan oleh faktor-faktor luar kawalan seperti akibat pandemik Covid-19.
“Tetapi kalau mereka terlibat dengan gaya hidup umpamanya menggunakan kad kredit, gaya hidupnya yang berfoya-foya, itu tidak boleh walaupun kerajaan memberi pilihan kedua,” katanya.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh memberikan peluang ketiga kepada golongan sebegitu tetapi sebaliknya membantu sesiapa yang benar-benar berusaha kerasa terlibat dalam perniagaan.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, di sini, hari ini.
“Kerajaan mesti bertegas yang mana bankrap kerana gaya hidup, itu kerajaan tidak boleh peluang ketiga tetapi kalau mereka benar-benar untuk berniaga untuk membantu negara.
“Dengan bertujuan untuk menjadikan negara kita sampai ke tahap menghayati ekonomi sebenar, maka yang itu kerajaan kena fikir sebab kita nak budayakan amalan perniagaan dalam masyarakat negara kita,” katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan untuk mengalakkan rakyat berniaga daripada bekerja makan gaji semata-mata.
“Dalam Islam, Rasulullah SAW berpesa bahawa 9/10 itu daripada rezeki perniagaan. Justeru negara kita mesti menggalakkan iklim perniagaan masyarakat berniaga bermula daripada bangku sekolah lagi galakkan belia-belia, orang orang muda dalam perniagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2023




















