
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibentang di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat, RUU itu akan dikemukakan untuk bacaan kali pertama. Satu lagi RUU yang dibentangkan ialah pindaan terhadap RUU Pasaran Modal dan Perkhidmatan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, sebelum ini dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memasukkan semua 23 cadangan pindaan terdahulu dan lima cadangan baharu dalam RUU itu.
Menurutnya, KKM telah banyak membuat pindaan dan turut mengambil kira pandangan yang diterima daripada perbahasan serta jawatankuasa pilihan khas Parlimen pada sesi lalu.
“RUU ini adalah lebih komprehensif dan meliputi bukan sahaja rokok konvensional, tetapi rokok alaf baharu termasuk elektronik serta rokok combustible,” katanya.
Sementara itu, empat daripada 14 soalan Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) yang berada dalam 30 soalan teratas sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan ditujukan kepada KKM.
Soalan nombor 12 yang ditanya oleh Kapten Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) meminta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada kerajaan berhasrat untuk menubuhkan sebuah agensi keselamatan kesihatan bersepadu yang bersifat multidisiplin bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta langkah pencegahan dalam menghadapi ancaman pandemik atau endemik pada masa akan datang.
Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) melalui soalan nombor 16 meminta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini mengenai penubuhan pasukan petugas khas untuk menangani projek sakit, terutama pembinaan hospital dan klinik kesihatan yang bukan satu bangunan biasa, tetapi melibatkan pemasangan kemudahan kesihatan seperti mempunyai ruang yang cukup, praktikal dan boleh digunakan untuk semua orang.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak pula mengemukakan soalan nombor 20 yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan perincian mengenai pelaburan langsung asing (FDI) dalam penyelidikan klinikal negara khususnya bidang kardiologi, onkologi, reumatologi, kesuburan dan penyakit genetik, dan berapakah bilangan pakar kesihatan tempatan dalam bidang-bidang berkenaan.
Soalan nombor 22 yang ditanya oleh Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) pula meminta Menteri Kesihatan menyatakan sejauh mana penguatkuasaan larangan merokok di premis awam seperti kedai makan bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya merokok.
Soalan lain yang ditanya oleh Ahli Parlimen PN yang tersenarai dalam 30 soalan teratas daripada 145 soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen ialah seperti berikut:
No 2 – Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) minta Menteri Kerja Raya menyatakan sejauh manakah kementerian telah memastikan supaya dasar ‘zero potholes’ dilaksanakan segera dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya, dan memastikan agar setiap kerja penampalan jalan yang dibuat adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
No 4 – Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan status projek perumahan rakyat Bukit Belah di Machang dan bilakah penerima yang terpilih akan dapat berpindah masuk.
No 6 – Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan sama ada kementerian terlibat dalam proses pemantauan dan suntingan drama dan filem bagi memastikan nilai kerukunan dalam karya-karya yang dihasilkan serta tidak menyentuh isu sensitif yang melibatkan sensitiviti kaum dan agama.
No 8 – Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) minta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan apa perancangan kementerian untuk memastikan jalan utama dan jambatan ke perkampungan Orang Asli dinaik taraf kerana masih banyak yang berstatus guna ‘Jalan Pembalakan’.
No 10 – Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) minta Menteri Pendidikan menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh kementerian pada waktu ini bagi membantu pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah yang tercicir pengajian akibat masalah kemiskinan.
No 14 – Dr Halimah Ali (PN-Kapar) minta Menteri Pengangkutan menyatakan bilakah pihak kementerian akan memulakan kemudahan pengangkutan seperti bas mini yang efektif dan efisyen di pinggiran kawasan bandar seperti Kapar.
No 18 – Dato’ Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah tindakan kementerian dalam menangani permasalahan sistem atas talian melibatkan KPM yang sentiasa mengalami gangguan capaian dan kerap berlaku.
No 24 – Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan sejauh mana persiapan terkini atlet-atlet negara dalam misi memburu pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
No 26 – Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan apakah langkah integrasi antara agensi dalam kementerian dalam usaha membantu lebih 560,000 penerima bantuan bulanan JKM.
No 27 – Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan langkah kementerian dalam mewujudkan pelbagai program peluang pekerjaan khususnya dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang hilang pekerjaan akibat pandemik yang lalu dan nyatakan peratusan yang berjaya kembali bekerja masa kini dan bagaimanakah pihak Kementerian mengukur keberkesanan program ini. – HARAKAHDAILY 12/6/2023




















