TG Baqi dinobat antara 8 pemikir Islam Alam Melayu

- Advertisement -

UNIVERSITI Malaya memilih Tuan Guru Haji Baqi Osman termasuk lapan tokoh pemikir Islam di Alam Melayu. Pemilihan ini didasarkan kepada tema kepelbagaian idea dan pendekatan gerakan dan pendidikan Islam oleh tokoh-tokoh berkenaan. 

Tulisan mengenai ketokohan dan sumbangan tokoh-tokoh ini dimuatkan dalam buku terkini terbitan Penerbit Universiti Malaya berjudul ‘Ketokohan dan Sumbangan Pemikir Islam Alam Melayu.’

Lapan tokoh itu ialah Syeikh Abd Rauf Fansuri (Aceh), Kiai Hj Sholeh Darat (Jawa), Syeikh Junid Tolak (Perak),  Zainon Sulaiman atau Ibu Zain, Syeikh Yasin Fadani, Abdulfatah Haron Ibrahim, Hj Mohd Baqi Osman dan Auni Abdullah.

Latar belakang 

Tuan Guru Haji Mohd  Baqi bin Othman dilahirkan pada 12 Julai 1940 di Kampung Kening, Chenor, Pahang. Beliau mula belajar agama secara berkitab dengan Haji Hasan Telok Mengkuang dan Haji Jaafar Abas Kampung Sentang. Pada 1954 beliau sempat belajar seketika dengan Muallim Wahid di Madrasah An Nuriah Sungai Udang, Melaka. 

Walaupun sudah menjadi anak yatim beliau terus gigih dalam menuntut ilmu. Pada 1958, Haji Mohd Baqi bersama dua adiknya, Mat Isup dan Mustafa berhijrah ke Kelantan untuk belajar dengan Tuan Guru Haji Abd Rahman Che Wan di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas. Tuan Guru Haji Abd Rahman adalah datuk kepada Mufti Wilayah Persekutuan sekarang, Dr Luqman Abdullah. 

Ke Makkah

Dengan tekad yang tinggi, pada 1969 Haji Mohd Baqi memulakan perjalanan ilmunya ke Makkah Al Mukarramah. Beliau menaiki kapal laut dari Pelabuhan Kelang ke Madras, India. Tiba di Madras selepas dua minggu perjalanan. Seterusnya beliau menaiki keretapi ke New Delhi dan kemudiannya ke Lahore, Pakistan. 

Sekali lagi beliau menaiki kapal laut di Pelabuhan Karachi menuju ke Bahrain. Kemudiannya menaiki tongkang untuk masuk ke Arab Saudi menerusi jalan Khubar.

Di Makkah Hj Mohd Baqi belajar di Madrasah Darul Ulum. Pusat pengajian ini dibangunkan oleh ulamak-ulamak dari Nusantara. Sebelum itu kebanyakan pelajar melayu belajar di Madrasah Saalatiyyah al-Hindiyyah yang diasaskan oleh guru-guru dari benua India dan terletak di Jirwal tidak jauh dari Masjidil Haram. 

Sepanjang berada di Makkah (1969-1976), beliau tidak melepaskan peluang menuntut ilmu dari alim ulamak terkenal di kota suci itu. Antara mereka ialah, Syeikh Daud bin Sulaiman al-Kalantani, Syeikh Muhammad Yasin bin Mohammad Isa al-Fadani dan Syeikh Hassan Masyath.  

Di Makkah, Haji Mohd Baqi bernikah dengan Rokiah binti Ahmad. Pasangan ini mendapat anak pertama, Abd Muhaimin di sana. 1976 mereka pulang ke Malaysia dengan menaiki kapal laut. 

Setelah pulang ke Malaysia, beliau diberi kepercayaan oleh masyarakat untuk mengajar, mendidik dan menyampaikan kuliah di seluruh pelosok negeri Pahang. Usaha dakwah dan pendidikan beliau menjadi lebih serius dengan terdirinya Pondok Darul Ridzuan pada 1978 di Kampung Lanting, Chenor. 

Dakwah 

Pondok itu diasaskan untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agama dan ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menuntut ilmu agama tanpa had umur. 

Pada peringkat awal, jadual pengajian pondok bermula selepas selesai solat Subuh hingga sekitar jam 8:30 atau 9:00 pagi. Kemudian pelajar-pelajar boleh pergi bekerja seperti menoreh getah, mengambil upah kerja dengan penduduk kampung atau penyediaan makanan secara sendiri. 

Kelas seterusnya akan disambung sebelah petang dengan pengajian al-Quran yang dikendalikan oleh seorang guru al-Quran iaitu Haji Omar dari Kampung Sekara. 

Pada peringkat awal Tuan Guru turut dibantu oleh adiknya Ustaz Mat Isup Osman yang pernah belajar bersamanya di Pondok Lubuk Tapah. Ustaz Mat Isup mempunyai kemahiran dalam taranum al-Quran yang pernah dipelajarinya dari qari terkenal Negeri Kelantan iaitu Haji Hasan bin Ramli. Di samping itu adik ipar Tuan Guru, Ustaz Ahmad Ramli turut membantu beliau di Pondok Darul Ridhuan. 

Antara kitab yang diajar di pondok ini ialah Matan Ummul Barahin (tauhid), Matla’al Badrain, Safinatun Najah, Pedoman Solat Berjemaah (Fekah), Minhajul Abidin (Tasawuf), Tafsir Jalalain (Tafsir), Matan Ajurrumiyyah (Nahu), Matan Arbain, Mustika Hadis (Hadis) dan lain-lain. 

Pada 1992, Haji Mohd Baqi menyahut cabaran modenisasi institusi pengajian Islam dengan menubuhkan Madrasah Sa’adah ad-Daraini di Sungai Gau, Temerloh untuk pelajar lelaki dan di Kampung Lanting untuk pelajar perempuan. 

Menariknya, sekolah ini menawarkan pengajian Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Salah seorang produk sekolah ini ialah Ahli Dewan Negeri Tahan, YB Ustaz Zakhwan Badardin. 

Di Kampung Lanting juga ditubuhkan sebuah sekolah agama dikenali sebagai Maahad Tahfis Majalis Ilmi Wa Tarbiah. Ia menggabungkan pengajian tahfiz, agama dan akademik sekolah rendah dan menengah dikendalikan oleh menantu beliau, Ustaz Mujibur Rahman Ishak.

Politik Islam

Tidak berpada dengan dakwah dan pendidikan, Haji Mohd Baqi turut berjuang menerusi medan politik Islam dengan menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Sejak kanak-kanak, beliau sudah mengenali PAS. Apa tidaknya, bapa saudara beliau Abd Rahman bin Hamdan pernah menjadi ketua Penerangan PAS Pahang sekitar tahun 1964-1969.

Ketika belajar di Kelantan, Haji Mohd Baqi sering kali mewakili gurunya Tuan Guru Haji Abdul Rahman untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat PAS ketika gurunya itu berhalangan untuk hadir. Di sana juga beliau mula mengenali tokoh-tokoh PAS seperti Ustaz Abu Bakar Hamzah, Abdul Samad Ghol, Khatijah Sidek dan lainnya. 

Selepas tamat belajar di Makkah, beliau pernah menerima tawaran jawatan yang lebih selesa, tetapi menolaknya. Beliau memilih untuk menyampaikan ilmu agama di samping bergiat langsung dengan PAS. 

Salah satu hasrat beliau juga adalah untuk membetulkan fahaman sebahagian besar umat Islam yang masih menganggap politik tidak ada kena mengena dengan agama. Zaman itu PAS kurang mendapat sokongan dari kalangan orang Melayu di Maran dan juga di peringkat nasional. 

Beliau pernah tiga kali mewakili PAS dalam pilihanraya umum di kawasan Dewan Undangan Negeri Chenor, iaitu pada tahun 1990, 1995 dan 1999. 

Dalam organisasi jemaah, Haji Mohd Baqi pernah memegang jawatan YDP PAS Kawasan Maran (1991-2013), Pesuruhjaya PAS Pahang (1994-2001), AJK Dewan Ulamak PAS Pusat dan AJK PAS Pusat di samping beberapa jawatan penting lain. 

Penghargaan

Atas jasa beliau dalam bidang dakwah dan pendidikan serta perjuangan Islam, beliau telah diberi beberapa anugerah. Antaranya anugerah Tokoh Ulamak Istiqamah PAS yang diterimanya bersempena Muktamar Tahunan PAS ke 65 di Kuantan pada tahun 2019. Beliau turut menerima Anugerah Tokoh Ulamak di Muktamar Dewan Ulamak PAS Pahang pada 2014.

Kemuncaknya, Haji Mohd Baqi dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1442 peringkat Negeri Pahang (2020). Anugerah disampaikan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah bersempena majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang tahun 1442/2020. 

Hari ini sekali lagi nama Tuan Guru Haji Mohd Baqi Othman diangkat apabila dipilih oleh Penerbitan Universiti Malaya untuk dibariskan bersama 8 tokoh pemikir Islam di Alam Melayu. 

Buku berjudul ‘Ketokohan dan Sumbangan Pemikir Islam Alam Melayu’ memaparkan 8 artikel yang memperincikan 8 tokoh berkenaan. Artikel berkaitan Tuan Guru Haji Mohd Baqi asalnya adalah tesis kajian penulis Aris Fezul Ismail yang dipilih untuk dimuatkan dalam buku berkenaan.

ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 12/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -