
KOTA BHARU: Malam tadi gelombang rakyat yang membadai di Senawang dalam misi menawan Negeri Sembilan malam ini pula menjalar ke Kota Bharu.
Ribuan rakyat Kelantan memenuhi Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV biarpun hujan agak lebat menjelang Maghrib.
Kehadiran begitu sendat tersebut disifatkan Ketua Pimpinan Bersatu Kelantan Dato Kamaruddin Mohd Nor peluang cerah untuk menang 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).
Katanya usaha untuk menjatuhkan kerajaan PAS dilakukan sejak 30 tahun lalu, namun parti itu terus kental mentadbir Kelantan sehingga sekarang.
“Saya dan Tan Sri Annuar Musa ketika itu masih lagi sebagai pemimpin Umno, telah melakukan pelbagai usaha bagi mengalahkan kerajaan PAS, namun tidak menjadi kenyataan.
“Tan Sri Annuar telah melakukan pelbagai langkah untuk menjatuhkan PAS namun parti itu tetap kental,” katanya pada ceramah Ppakat Pertahan di Dataran Warisan.
Orang ramai memenuhi khemah besar tempat berlangsung ceramah. Dua skrin besar disediakan bagi membolehkan mereka yang berada agak jauh dari pentas melihat penceramah dari dekat.
Hadir sama Menteri Besar Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob, Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Annuar, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat dan Ketua Penerangan PAS negeri Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Mohd Nassurudin turut yakin PAS dan Perikatan Nasional (PN) mampu mengulangi sejarah 1990 apabila Umno gagal sebarang kerusi pada pilihan raya umum tersebut.
Takiyuddin juga mengimbau kejayaan PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah pada PRU Oktober 1990 apabila menang 39-0 bagi kerusi Dun dan 13-0 parlimen. – HARAKAHDAILY 11/6/2023





















