9,323 rumah RM500,000 hingga RM1 juta tidak terjual

Dato' Rosol Wahid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berdasarkan data suku ketiga tahun 2022 (Q3, 2022) oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (National Property Information Centre; NAPIC), rumah yang dilancar berjumlah 148,426 unit sementara rumah siap dibina tidak terjual pula berjumlah 29,534 unit dengan nilai RM19.95 bilion.

- Advertisement -

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, data awalan suku keempat (Q4P, 2022) pula menunjukkan rumah yang dilancar berjumlah 153,227 unit sementara rumah siap dibina tidak terjual pula berjumlah 27,746 unit dengan nilai RM18.45 bilion.

Berdasarkan data tersebut, ujarnya rumah berharga RM500,001 hingga RM1,000,000 menyumbang sebanyak 9,323 unit atau 33.6 peratus daripada jumlah kediaman siap dibina tidak terjual bagi Q4,2022.

“Dalam prinsip ekonomi yang sihat, produk yang dibekalkan ke pasaran seharusnya berdasarkan penawaran dan permintaan (supply and demand),” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, antara faktor yang menyebabkan keadaan tidak sepadan (mismatch) adalah disebabkan oleh harga yang tidak berpadanan dengan kemampuan pembeli berdasarkan lokaliti, jenis rumah yang tidak diminati dan lokasi yang kurang strategik seperti jauh dari pusat ekonomi dengan ketiadaan pengangkutan awam yang sesuai.

Dalam soalnnya, Rosol meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah langkah holistik yang dirangka oleh Kementerian terhadap lambakan kediaman berharga dalam lingkungan RM500,000 hingga RM1 juta yang dilaporkan mencatat jumlah tidak terjual tertinggi sebanyak 33.6 peratus daripada keseluruhan kediaman siap dibina yang tidak terjual serta jalan penyelesaiannya.

KPKT berkata, mengambil kira punca-punca mismatch itu, pihaknya sedang melaksanakan beberapa tindakan untuk menangani isu itu bagi tempoh pendek dan panjang.

Katanya, antara tindakan tersebut adalah mengkaji dan melaksanakan analisis data lambakan tidak terjual bagi mengenal pasti penyelesaian yang bersesuaian, menggalakkan pemaju untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) sebelum sesuatu pemajuan dilaksanakan bagi memastikan rumah yang dibina adalah berdasarkan kemampuan rakyat, seterusnya mengelakkan rumah tersebut tidak terjual. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -