Tiada kenaikan harga, penangguhan umrah bagi jemaah Andalusia

Ida Riswana dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur pada hari ini, 7 April 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali pakej ibadah haji dan umrah terkemuka, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menafikan dakwaan sesetengah agensi pelancongan bahawa berlaku kenaikan harga, penangguhan atau pembatalan hotel bagi pakej umrah pada bulan ini.

Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana berkata, umat Islam perlu berhati-hati dalam memilih agensi pelancongan, khususnya sebelum menunaikan umrah lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

- Advertisement -

Beliau menegaskan demikian dalam sidang akhbar pada hari ini, di sini, sebagai respons terhadap kenyataan akhbar yang dibuat sesetengah agensi pelancongan tempatan yang antaranya mendakwa susulan kenaikan harga hotel secara mendadak di Tanah Suci Makkah pada Ramadan kali ini  menyebabkan berlaku kenaikan harga tiket dan tidak cukup tempat duduk dalam penerbangan.

“Berita tersebut adalah tidak benar yang dapat menimbulkan keraguan dalam kalangan bakal jemaah bukan sahaja terhadap Andalusia tetapi juga terhadap agensi-agensi pelancongan yang lain.

“Apabila berita yang sedang tular ini tersebar secara meluas yang turut menyebabkan sesetengah agensi pelancongan yang lain membatalkan pakej umrah bulan Ramadan pada saat-saat terakhir, secara tidak langsung syarikat kami juga akan dilabel negatif dengan sebegitu rupa,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap bakal jemaah umrah yang akan terkesan terhadap berita tersebut sehingga menyebabkan keresahan dan keraguan, yang dapat menjejaskan kesihatan mental mereka memandangkan mereka mempunyai perasaan yang amat tinggi untuk beribadat ke Tanah Suci.

“Jika kerajaan hanya membiarkan perkara ini berterusan, ia juga akan membawa kepada kesan ekonomi yang amat buruk kepada negara Malaysia juga pada jangka masa yang panjang,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa hakikatnya, jika mana-mana agensi pelancongan membuat sebarang perancangan yang rapi seperti melihat keadaan sebenar seperti penerbangan umrah dan urusan hotel di Tanah Suci, perkara itu tidak akan timbul.

“Jika membuat kajian betul-betul, penerbangan ke umrah masih lagi mempunyai tempat duduk kosong yang banyak sehingga ada yang terpaksa disatukan untuk menggelakkan kerugian dalam syarikat penerbangan itu sendiri.

“Begitu juga dengan hotel dan tidak mungkin timbul sebarang isu jika mana-mana agensi pelancongan membuat tempahan jauh lebih awal dengan pengesahan pembayaran hotel yang sah dan bukannya melalui ejen,” jelasnya.

Beliau berpendapat bahawa tindakan sedemikian apabila dilakukan dengan amat teliti dapat mengurangkan sebarang risiko kepada mana-mana bakal jemaah dan pada masa sama tidak akan berlakunya sebarang penipuan dalam kalangan agensi pelancongan itu sendiri.

“Dalam syarikat kami di Andalusia sendiri pun amat tegas menekankan muamalat tanpa sebarang penipuan, walau apa pun kerana kami ingin memaparkan sifat Islam yang sebenar iaitu bersifat kejujuran dan amanah,” katanya.

Tambahnya, Andalusia turut melakukan penambahan tiket pada 10 malam akhir Ramadan, malah bilik penginapan di Tanah Suci Makkah serta Madinah juga masih banyak yang kosong.

“Bagi jemaah Andalusia yang mencecah 48,000 orang, tiada sebarang penangguhan, pembatalan hotel atau peningkatan harga pakej umrah,” tegasnya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata ia adalah disebabkan pihaknya mengamalkan empat formula.

“Pertama, membuat tempahan tiket penerbangan awal musim dan menandatangani perjanjian sebelum permulaan musim umrah mengikut perancangan semusim serta hanya menjual pakej mengikut tarikh tempahan hotel yang sudah disahkan.

“Kedua, membuat kontrak secara terus dengan pengurusan tertinggi hotel mengikut perancangan setahun. Ketiga, membuat kos yang tepat mengikut tiket dan hotel yang ada, kemudian barulah membuat penjualan.

“Keempat, pengurusan kewangan teratur dan amanah kerana wang yang diterima melalui pembayaran pakej oleh jemaah diuruskan sebagai wang amanah jemaah bagi pembelian tiket, hotel, visa dan semua komponen yang dijanjikan oleh Andalusia semasa penjualan pakej,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai langkah yang boleh diambil jemaah umrah, beliau berpesan agar jangan terperdaya dengan mana-mana agensi pelancongan yang menawarkan pakej-pakej umrah dengan harga yang meragukan.

“Sebelum melakukan umrah, jangan terus ikut sesiapa sahaja menawarkan pakej umrah, lihat lesennya dulu dan datang sendiri ke agensi pelancongan tersebut dan sentiasa pantau harga yang ditawarkan serta minta penjelasan mengenai perkara tersebut.

“Jangan lupa untuk sentiasa pantau sama ada agensi pelancongan tersebut benar-benar sentiasa patuh undang-undang yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2023

- Advertisement -