Kerajaan belum sasar 100 peratus pengeluaran beras

Rakyat mengeluh bukan sahaja akibat kenaikan harga beras di pasaran tetapi juga disebakan bekalannya yang tidak mencukupi. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Negara diberitahu kerajaan sehingga sekarang belum menyasarkan 100 peratus tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran beras.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, kerajaan menyasarkan tahap SSL sebanyak 75 peratus menjelang tahun 2025 dan 80 peratus pada 2030.

“Jadi kita masih belum mensasarkan 100 peratus, cuma setakat 80 peratus.

“Namun untuk memastikan kecukupan bekalan beras kita menyediakan stok pound negara termasuk trading stok berjumlah 1.1 juta metrik tan yang dapat menampung 5.5 bulan keperluan negara,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Sr Mohd Apandi Mohamad hari ini.

Mohd Apandi sebelum itu mahu tahu perancangan kerajaan untuk tidak lagi bergantung kepada beras import bagi keperluan rakyat.

“Sekarang rakyat nak dengar bila agak-agaknya kita tak perlu bergantung kepada (beras) import, kalau nak bergantung kepada import pun lebih kepada stok simpanan.

“Bila rancangan kerajaan kita boleh mencapai guna penuh hasil padi 100 peratus. Kita tidak mahu 70 peratus,” katanya semasa mengemukakan soalan pada sesi jawab lisan. – HARAKAHDAILY 5/4/2023

- Advertisement -