
KUALA LUMPUR: Kemaraan tentera Islam yang dipimpin Rasulullah s.a.w ke medan Perang Tabuk berdepan dengan halangan yang begitu mencabar sehingga ramai tentera kehausan.
Ketika itu, mereka terpaksa melalui padang pasir yang sangat panas sehingga menyebabkan kekurangan makanan dan minuman.
Ketika tentera Islam mengadu kehausan Baginda s.a.w memanjatkan doa agar diturunkan hujan, lalu Allah SWT memperkenankan doa Baginda dengan menurunkan hujan yang lebat.
“Selain itu, Allah SWT menunjukkan mukjizat Baginda dengan mengeluarkan air melalui celahan jari yang boleh diminum ribuan tentera Islam,” kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nushi Mahfodz.
Beliau mengimbaukan kembali kehebatan tentera Islam pada Takzirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH).
Tazkirah terbabit disiar secara langsung dan boleh diikuti melalui Facebook Harakahdaily dan Facebook TV PAS.
Perang Tabuk merupakan peperangan terakhir yang dipimpin Rasulullah s.a.w berlaku pada tahun 630 Masihi atau 9 Hijrah antara tentera Muslim dengan pasukan Rom.
Ketika membuat persiapan menghadapi peperangan itu Uthman bin Affan memberi sebanyak 1,000 dinar, 900 ekor unta, 100 ekor kuda selain menanggung persiapan peperangan termasuk senjata, makanan serta ubat-ubatan pasukan Islam.
Ketika perjalanan menuju ke Tabuk Baginda s.a.w dan sahabat terpaksa mengambil masa hampir 20 hari dengan jarak kira-kira 700-800km dari kota Madinah.
Empayar Rom ketika itu merupakan sebuah kerajaan besar dan kuat. Pasukan tenteranya sebelum itu banyak memenangi peperangan besar kerana kekuatan dan kegagahan mereka.
“Dalam peperangan tersebut pasukan tentera Islam membuat perancangan yang teliti dan berhati-hati yang diketuai oleh Baginda s.a.w.
“Tentera Islam dengan kekuatan 30,000 tentera termasuk 10,000 angkatan berkuda. Baginda juga menguatkan penyatuan Islam di sekeliling wilayah Tabuk, seperti Ailah, Jarba’ dan Azruh, sehingga akhirnya pihak musuh berundur.
“Dalam peperangan tersebut Rasulullah s.a.w berjaya menawan serta mengislamkan kaum Musyrikin dan bukannya memerangi atau menjajah mereka,” ujarnya.

Taktik itu, ujarnya bukan sahaja menguatkan kedudukan pertahanan Islam sebaliknya mempersaudarakan Muslim yang berbeza bangsa.
Selepas melalui pelbagai cabaran, pertempuran di Tabuk tidak berlaku dan berakhir tanpa pertumpahan darah. – HARAKAHDAILY 5/4/2023











