Vape tambah beban kesihatan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta merangka persediaan untuk menghadapi beban masalah kesihatan susulan keputusan kerajaan mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952.

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, bilangan pengguna rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja di negara ini semakin meningkat saban tahun.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan berusaha melaksanakan Dasar Generasi Penamat (GEG) melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Produk Tembakau dan Merokok 2022 tidak lama lagi.

“Selain Akta GEG, adakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai perancangan teliti untuk pencegahan penyakit kronik, terutama kepada golongan muda.

“Bukan sahaja bawah 18 tahun, mereka yang berusia melebihi umur itu terdedah kepada pelbagai penyakit, lebih-lebih lagi apabila nikotin dikeluarkan dari Akta Racun 1952,” katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM melaksanakan kempen GEG Anti-Rokok 18 (Gegar-18) dengan mengadakan program advokasi dan libat urus golongan tersebut.

Menurutnya, usaha yang dilaksanakan tanpa jemu itu merupakan persediaan KKM, malah melakukan inisiatif sama terhadap golongan dewasa yang merupakan perokok tegar.

“Bagi mengelakkan sistem kesihatan negara terbeban dengan pesakit berkaitan rokok ini, memang program berterusan tetap dijalankan termasuk di Parlimen.

“Kita tetap mempunyai program yang berterusan saban tahun kerana program anti merokok dijalankan sejak awal tahun 1980-an lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2023

- Advertisement -