
SAYA telah membangkitkan beberapa isu infrastruktur dan fasiliti sekolah-sekolah daif di Kemaman di dalam kamar khas semasa sesi persidangan Dewan Rakyat.
Terdapat empat isu yang telah saya bangkitkan dan mendapat respon jawapan bertulis oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), antaranya:
a. Gantian bangunan daif Prasekolah Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang, Kemaman.
Saya dimaklumkan projek ini yang melibatkan kerja meroboh dan membina bangunan gantian dengan fasiliti yang lengkap dalam proses akhir pelantikan kontraktor selepas ditutup pada 27 Disember 2022. Jangkaan Surat Setuju Terima (SST) bagi pelantikan kontraktor akan dikeluarkan pada akhir April 2023. Kerja pembinaan oleh kontraktor dilantik dijangka akan dimulakan pada bulan Mei 2023 dan projek ini dijangka siap pada Jun 2024.
b. Gantian kantin Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor, Chukai.
Projek ini antara yang akan diluluskan melalui belanjawan pembangunan dan dimulakan proses prabina pada tahun 2023. Saya dimaklumkan bahawa lawatan dan tinjauan awalan ke tapak projek tersebut dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Manakala proses memulakan kerja awalan di tapak tersebut akan dilakukan setelah KPM menerima waran am peruntukan daripada Kementerian Kewangan Malaysia.
c. Gantian dewan Sekolah Kebangsaan Kijal.
Berkaitan projek ini telah diiklan tender pada 30 Januari 2023 dan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang dilantik dijangka akan di keluarkan pada 30 Mei 2023. Manakala kerja pembinaan oleh kontraktor dilantik dijangka akan dimulakan pada bulan Jun 2023. Saya difahamkan bahawa projek yang mengambil masa setahun ini akan dijangka siap pada Jun 2024.
d. Penambahan 6 bilik darjah bangunan di Sekolah Kebangsaan Telok Kalong, Kemaman.
Saya dimaklumkan projek ini telah diiklankan pada 15 Mac 2023 dan SST dijangka pada 15 Ogos 2023. Selain itu, kerja-kerja melibatkan pembinaan akan dimulakan pada bulan September 2023. Projek ini akan dijangka siap pada Mei 2025.
Meskipun saya mendapat jawapan status projek-projek fasiliti sekolah-sekolah daif di Kemaman ini yang dijangka siap pertengahan tahun 2024 dan 2025, namun begitu saya mengharapkan supaya projek ini disegerakan untuk disiapkan memandangkan ia melibatkan keselesaan, keselamatan dan kebajikan bukan sahaja anak-anak murid tetapi juga semua kakitangan termasuk guru yang berkhidmat di sekolah-sekolah tersebut.
“Malaysia Sejahtera”
YB TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 4/4/2023











