
NEW DELHI: Beribu-ribu golongan gelandangan terjejas selepas suhu rendah dicatat mencecah 5.5 darjah Celcius sejak 1 Jani lalu.
Senario yang berlaku di New Delhi itu menyebabkan gelandangan terbabit menghamparkan tilam dan selimut yang koyak di atas kaki lima dan berbaring di atasnya untuk memanaskan badan masing-masing, lapor AFP.
Agensi peramal kaji cuaca India sehubungan itu telah mengeluarkan amaran kepada rakyat di negara itu berikutan gelombang sejuk yang teruk diramalkan berlaku bermula pada 2 Jan.
“Keadaan ini berulang kali terjadi setiap tahun apabila ibu negara India itu (New Delhi) mengalami serangan musim sejuk yang teruk,” ujar kenyataan itu.
Keadaan cuaca sejuk itu menurut AFP lagi, turut dipersalahkan oleh segelintir rakyat India kerana telah sebilangan gelandangan meninggal dunia, selain puluhan ribu yang lain menggigil kesejukan di jalanan.
Apabila menjelang malam di kawasan New Delhi menunjukkan kabus semakin tebal dan membeku menyelimuti ibu kota India.
Golongan gelandangan tidak mampu membeli selimut didapati bersesak-sesak di sekitar unggun api yang marak menyala untuk memanaskan badan mereka daripada kesejukan yang melampau.
“Kemalangan sering sahaja berlaku disebabkan gelandangan ini menyelimuti badan masing-masing yang kesejukkan sehingga menyebabkan pemandu-pemandu tidak dapat melihat objek di hadapan kenderaan menyebabkan berlaku kemalangan, lapor AFP lagi.

Dalam pada itu, jurucakap polis, Surendra Srivastava memberitahu sekurang-kurangnya 114 orang dilaporkan terbunuh akibat cuaca sejuk melampau di Uttar Pradesh yang telah mencatatkan sebanyak 23 kematian terbaharu dalam tempoh 24 jam
“Kebanyakan mangsa merupakan penduduk yang tinggal di penempatan miskin dan gelandangan yang tidak ditempatkan di pusat-pusat perlindungan sementara.
“Wilayah utara India telah mengalami cuaca paling sejuk buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun, kelmarin dengan catatan suhu serendah 9.8 darjah Celsius,” ujarnya..
Jabatan meteorologi tempatan berkata, rekod paling sejuk yang pernah dicatatkan sebelum ini adalah pada tahun 1969 dengan suhu 4.8 darjah Celsius.
Jabatan tersebut menjelaskan, suhu sejuk luar biasa itu telah menyebabkan kabus tebal yang menghalang pancaran cahaya matahari dan menyebabkan lebih 30 penerbangan di India terpaksa dibatalkan. – HARAKAHDAILY 3/01/2023




















