LPF digesa tegas tolak filem berunsur LGBTQ

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat menggesa Lembaga Penapis Filem (LPF) bertegas dan tidak berkompromi terhadap filem-filem tempatan mahupun antarabangsa yang berusaha menormalisasi unsur LGBTQ dalam karya masing-masing. Pendirian Malaysia untuk tidak menayangkan sebuah cerita animasi Disney, ‘Lightyear’ kerana mengandungi unsur negatif tersebut merupakan sesuatu tindakan yang tepat.

Kerajaan Malaysia khususnya LPF perlu lebih berhati-hati dengan gelombang kempen yang dibuat oleh pengusaha filem antarabangsa khususnya Walt Disney sendiri. Lambakan filem Disney mula memasukkan sedikit demi sedikit unsur LGBTQ sebagai sebahagian daripada kempen inklusiviti besar-besaran untuk menormalisasi budaya songsang tersebut ke dalam masyarakat global.

Disney sedang giat mempromosi kempen ‘Reimagine Tomorrow’ dengan komitmen memasukkan 50 peratus unsur yang berkait dengan kumpulan etnik minoriti dan komuniti LGBTQ sebagai karakter utama dalam filem yang diterbitkan di bawah Disney. Ia termasuklah karakter dalam beberapa filem kontroversi sebelum ini seperti filem ‘Doctor Strange in the Multiverse of Madness’.

Dewan Ulamak PAS Pusat tidak sesekali mahu berkompromi dengan sebarang unsur yang boleh merosakkan pemikiran masyarakat di negara ini. Pendirian Malaysia yang konsisten menolak unsur LGBTQ tidak perlu dipertikai, malah ia perlu diperkukuh sebagai identiti utama masyarakat di negara ini. Ia juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara. 

Oleh yang demikian, pihak LPF digesa tidak sesekali berkompromi dengan usaha menormalisasi budaya songsang tersebut ke dalam negara melalui industri seni.

YB SENATOR USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -