
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor menafikan adanya sebarang perbincangan antara beliau dengan Sultan Selangor ketika menghadap baginda sebagaimana dilaporkan New Straits Times, semalam.
“Saya mengesahkan bahawa dalam majlis tersebut saya hanya mendengar titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan tidak ada sebarang perbincangan antara saya dengan Tuanku,” ujar Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.
Beliau dititahkan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan pertemuan telah berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada kelmarin.
Istana Selangor menerusi media sosial rasmi telah memuat naik gambar pertemuan tersebut dengan menyatakan telah berlangsung selama kira-kira satu jam. – HARAKAHDAILY 16/6/2022






















