
KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan membina loji baharu Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak yang berkapasiti 10 juta liter sehari (JLH).
Projek terbabit akan ditender pada Februari ini dan dijangka siap awal 2024 bagi mengatasi bekalan air di Bandar Utama Gua Musang.
Menurut AKSB projek jangka masa panjang dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
Katanya, sekarang pengguna di kawasan berkenaan menerima bekalan air terawat dari LRA Sungai Ketil melalui tangki Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Masalah tekanan rendah berpunca penggunaan paip baharu 10 inci PVCO dari Taman Mesra ke jambatan Sungai Cindai menyebabkan lebihan air masuk ke kawasan berkenaan sejak akhir tahun lepas.
“Selain itu kadar kehilangan air tak terhasil (NRW) semasa sekitar 45.5 peratus yang lebih tinggi berbanding purata tahun lepas 35.5 peratus.
“Akibat situasi tersebut agihan air terawat berkurangan ke Bandar Utama Gua Musang, di samping topografi bandar terbabit lebih tinggi,” katanya pada kenyataan hari ini.
Oleh itu AKSB mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut dengan melakukan kajian di lapangan untuk mengurangkan kadar NRW.
Menurutnya AKSB akan bekerjasama dengan perunding bagi meningkatkan kecekapan agihan air terawat ke Bandar Utama Gua Musang dan mengurangkan NRW.
Malah katanya bagi penyelesaian jangka masa pendek AKSB akan memasang peralatan untuk mengawal kadar alir air ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan ke Bandar Utama Gua Musang.
Manakala bagi jangka masa sederhana, AKSB akan melaksanakan projek penggantian paip dari tangki JAKOA ke tangki Bandar Utama Gua Musang.
AKSB menasihat pengguna memaklumkan sebarang masalah bekalan air terawat yang dihadapi bagi membolehkan tindakan segera diambil.
AKSB boleh dihubungi melalui talian 15777 atau Whatsapp ke 019-5755777 atau email ke [email protected] – HARAKAHDAILY 28/1/2022




















