
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
KUALA TERENGGANU: Program vaksinasi yang dirancang kerajaan berjaya melangkaui sasaran awal yang tetapkan sebelum ini iaitu pada Mac 2022.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sehingga 17 Oktober lebih 91.6 peratus populasi dewasa berjaya dilengkapkan vaksinasi.
Katanya kerajaan perlu memastikan negara dikemudi keluar daripada pandemik secepat mungkin supaya rakyat dapat kembali kepada kehidupan normal.
“Kerajaan memberi penekanan untuk segera memacu keluar daripada pandemik Covid,” ujarnya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan bahan sanitasi di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), semalam.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin merancang empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berdasar populasi vaksinasi dewasa.
Ahmad Amzad berkata, kunci pemulihan negara daripada belenggu pandemik Covid-19 ialah kadar vaksinasi.
Menurutnya, terdapat tiga indikator bagi menentukan kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu kadar jangkitan baru kes Covid-19, kesiapsiagaan sistem kesihatan awam dan peratus penggunaan katil ICU serta kadar vaksinasi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, kerajaan menyasarkan fasa 4 bagi membolehkan sektor ekonomi negara dapat dibuka dengan lebih meluas.
“Kita menyasarkan mencapai fasa 4 dan kebanyakan sektor ekonomi telah dibuka semula dan kebenaran rentas negeri.
“Alhamdulillah, kita sekarang secara keseluruhannya berada di fasa 3 PPN seperti yang ditetapkan Jun lalu.
“Cuma yang merungsingkan kita, takut kita lupa. Kita ingat, kita sudah pulih seperti sediakala. Hakikatnya, kuman masih ada di sekeliling kita,” ujarnya.
Menurutnya laporan sukuan kedua ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 16 peratus, merupakan kadar tertinggi di dunia dan diikuti negara India.
Kata beliau tahun ini, ekonomi negara dijangka mencatat pertumbuhan sekitar 4.2 peratus, di mana ia mendapat pujian di peringkat penarafan oleh badan-badan dunia.
Hadir sama pada program itu, Timbalan Pesuruhjaya Pentadbiran Kewangan dan Pembangunan JHEAT, Mohd Ridhuan Modh Nor dan Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Shukri Faiz Jusoh. – HARAKAHDAILY 18/10/2021




















