Penduduk Pasir Puteh terima manfaat pembangunan Tok Bali

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Penduduk di Pasir Puteh akan menerima faedah daripada beberapa projek pembangunan di Tok Bali termasuk pelabuhan, Bandar Tok Bali dan Bandar Baru Tok Bali.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, Program pembangunan itu akan memperkukuhkan hubungan perdagangan, selain meningkatkan kemudahan insfrastruktur dan utiliti serta peluang pekerjaan.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri berharap pembangunan di jajahan Pasir Puteh mengikut lunas-lunas yang digariskan dalam Islam supaya kelimpahan dan kemakmuran dimanfaatkan sebaiknya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program publisiti dan penyertaan awam bagi Draf Rancangan Tempatan Jajahan Pasir Puteh 2035 (pengganti) di Dewan Teratai Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Izani Husin.

Menteri Besar turut berharap penduduk Pasir Puteh hadir ke tapak pameran Draf Rancangan Tempatan Pasir Puteh 2035 bagi mengemukakan cadangan, di samping membantu pihak berkuasa untuk mengenal pasti masalah dan peluang masa kini dan akan datang.

Draf Rancangan ini disediakan bagi tempoh perancangan sehingga tahun 2035 menggantikan RTJPP 2020 yang telah tamat tempoh penggunaanya pada tahun lalu.

Katanya, penggantian itu akan menjadi rujukan utama bagi tujuan kawalan perancangan agar pertumbuhan kawasan sejajar dengan hala tuju kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membentuk identiti yang tersendiri bagi jajahan Pasir Puteh.

Selain itu kata beliau program publisiti tersebut bagi membolehkan kerajaan meneliti cadangan dan pandangan yang dihasratkan penduduk setempat untuk dipertimbangkan.

“Draf Rancangan Tempatan Pasir Puteh akan dibentangkan selama sebulan bermula pada 17 Oktober sehingga 30 November depan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/10/2021

- Advertisement -