
Oleh KAIROL ZULHAIDI
KUALA LUMPUR: Peniaga dan pengunjung Pasar Budaya atau juga dikenali sebagai Pasar Seni dan Central Market berasa teruja apabila pusat pameran dan pembangunan kebudayaan, kesenian dan kraftangan terkenal di Malaysia itu bakal dibuka semula secara rasmi esok.
Tinjauan HarakahDaily di sekitar Pasar Budaya yang terletak di Jalan Kasturi itu mendapati peniaga dan orang ramai meluahkan rasa syukur dan berharap lokasi yang pernah mendapat jolokan ‘syurga pelancong’ itu kembali meriah seperti sebelum ini.
Mohammad Effendy Abdul Ghaffar, 54, yang membuka kedai produk bermotifkan batik Malaysia di Pasar Budaya sejak tahun 1986 berkata, pembukaan semula Pasar Budaya diharap dapat menghidupkan kembali perniagaan yang telah lama sepi akibat pandemik Covid-19, seterusnya dapat membantu mengembalikan sumber rezeki golongan peniaga di situ.
“Sebelum ini ada 300 peniaga di Pasar Budaya tetapi sekarang yang masih meneruskan perniagaan di sini hanya 70 peniaga. Justeru, dengan pembukaan semula Pasar Budaya ini benar-benar membantu peniaga di sini meneruskan pencarian rezeki,” ujarnya.

Menurutnya, bagi meraih semula kunjungan orang ramai dan pelancong ke Pasar Budaya, perlu ada kepelbagaian dari segi kedai-kedai yang menjual produk seni yang asli berasal dari Malaysia.
“Negara kita kaya dengan hasil seni yang unik dan mengagumkan, jadi produk sebegini harus lebih banyak ditampilkan di Pasar Budaya untuk menarik kunjungan orang ramai dan pelancong,” ujarnya.
Sementara itu, menurut pelajar, Mohd Karl Mazlin, 20, orang ramai perlu memberi sokongan dengan kembali mengunjungi Pasar Budaya yang kembali dibuka itu.
“Saya berharap agar rakyat Malaysia dapat mengunjungi Pasar Budaya bagi menyemarakkan lagi seni dan budaya negara kita, namun sudah tentu dengan menjaga prosedur operasi standard (SOP) masing-masing. Ia sekaligus diharap dapat membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya kepada HarakahDaily.

Seorang lagi peniaga di Pasar Budaya, Emma Mat, 48, pula berkata, pembukaan semula Pasar Budaya kepada kunjungan orang ramai dapat membantu dirinya bagi meneruskan perniagaan di lokasi yang merupakan antara tempat tarikan utama pelancong dalam dan luar negara itu.
“Saya berasa sangat teruja dengan pembukaan semula Pasar Budaya. Sudah 25 tahun saya menjalankan perniagaan di sini. Saya bersyukur atas segala ketentuan Allah dan sangat lega atas usaha baik pihak kerajaan yang membenarkan Pasar Budaya dibuka semula untuk dikunjungi orang ramai,” ujarnya.

Terdahulu kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN), bersetuju melonggarkan SOP Fasa 1 bagi industri kreatif, bermula esok, 9 September 2021.
Keputusan itu yang dibuat berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, Khamis lalu, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri kreatif, dengan tertakluk kepada SOP digariskan termasuk lengkap vaksinasi.-HARAKAHDAILY 8/9/2021




















