PIP, CVIA bakal pusat logistik utama rantau ASEAN

- Advertisement -

PADANG BESAR: Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) bakal menjadi pusat logistik utama di rantau ASEAN, demikian yakini Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

“Dengan lokasi strategik dan jaringan infrastruktur yang terus berkembang, Perlis berpotensi menjadi hab logistik penting, bukan sahaja untuk perdagangan domestik, tetapi juga perdagangan antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PIP dan Penang Port, serta penyerahan Memorandum Kolaborasi (MoC) antara Mutiara Perlis dan Asosiasi Depo Kontainer Indonesia yang berlangsung di sini hari ini.

PIP yang dijangka siap pada tahun 2025, akan memainkan peranan sebagai pintu masuk dan keluar kargo utama untuk Sumatera, Thailand, dan wilayah-wilayah di China seperti Kunming.

Kemudahan ini akan menggabungkan pengangkutan rel dan laut untuk memastikan pengedaran kargo lebih cekap dan kos efektif.

Sementara itu, CVIA telah menyelesaikan pembangunannya untuk Fasa 1 dan bersedia menjadi pusat perindustrian moden yang menempatkan pelbagai industri bernilai tinggi.

Kawasan ini akan menyokong aktiviti logistik PIP serta menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Dengan kedua-dua projek ini, kita mampu mempercepatkan pergerakan barangan dari wilayah Sumatera ke Bangkok, Vientiane dan Kunming melalui laluan darat serta Pelabuhan Pulau Pinang,” tambah Mohd Shukri.

Beliau turut menekankan pentingnya keterhubungan dengan negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, serta hubungan diplomatik yang dirancang dengan Yunnan, China pada tahun hadapan.

“Kerjasama ini boleh merealisasikan bandar berkembar antara Perlis dan Kunming di masa depan, mengukuhkan hubungan perdagangan serta budaya,” kata Mohd Shukri..

Menurut beliau lagi, projek PIP dan CVIA akan menjadikan Perlis sebagai pusat transit utama di Asia Tenggara, menghubungkan laluan perdagangan dari Eropah ke ASEAN melalui jaringan rel antarabangsa seperti Transcaucasus dan Jaringan Kereta Api Pan-Asia.

Beliau yakin, usaha itu bukan sahaja akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri, tetapi juga membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak dan berkualiti untuk rakyat Perlis.

“Insya-Allah, Perlis akan menjadi kuasa logistik yang signifikan di rantau ini,” katanya yang juga ADUN Sanglang.

Majlis ini turut dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan, industri, dan delegasi dari Indonesia, menandakan permulaan baharu bagi kerjasama logistik serantau. – HARAKAHDAILY 28/11/2024