Kabinet pro-Israel Trump kecewakan warga Islam AS

Donald Trump bertemu pemimpin Islam di Michigan ketika kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.
- Advertisement -

WASHINGTON: Penduduk Islam Amerika Syarikat (AS), terutama pemimpin yang menyokong Donald Trump untuk membantah sokongan pentadbiran Joe Biden terhadap kempen perang Israel di Gaza dan serangan ke atas Lubnan amat kecewa dengan pemilihan anggota Kabinetnya.

“Trump menang kerana kami dan kami tidak berpuas hati dengan Setiausaha Negara pilihannya dan pemimpin lain,” kata Rabiul Chowdhury yang mengetuai kempen menyingkirkan calon Demokrat, Kamala Harris’ di Philadelphia.

- Advertisement -

Pakar pilihan raya di AS percaya sokongan pengundi Islam untuk Trump membantunya memenangi Michigan dan turut mempengaruhi kemenangan Republikan di negeri lain.

Trump memilih penyokong setia Israel, Senator Republikan, Marco Rubio, untuk jawatan Setiausaha Negara.

Awal tahun ini, Rubio dilaporkan berkata, dia tidak akan membuka ruang baharu untuk gencatan senjata di Gaza, selain percaya Israel harus memusnahkan setiap elemen Hamas. “Mereka adalah haiwan ganas,” katanya.

Trump juga mencalonkan Mike Huckabee, bekas Gabenor Arkansas dan konservatif pro-Israel yang menyokong pendudukan Israel di Tebing Barat dan melabelkan penyelesaian dua negara di Palestin tidak boleh dilaksanakan, sebagai bakal Duta AS ke Israel.

Beliau memilih wakil Republikan, Elise Stefanik, yang melabelkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “antisemitisme kosong” sebagai bakal Duta AS ke PBB.

Rexhinaldo Nazarko, Pengarah Eksekutif Rangkaian Pemerkasaan dan Keterlibatan Musim AS (AMEEN) berkata, pengundi Islam berharap Trump akan memilih anggota Kabinet yang berusaha ke arah keamanan, tetapi tidak ada tanda-tanda itu berlaku.

“Kami sangat kecewa. Bagi gerakan pro-keamanan dan anti-perang, nampaknya pentadbiran ini dipenuhi sepenuhnya dengan neokonservatif dan sangat pro-Israel, pro-peperangan yang merupakan kegagalan Presiden Trump.”

Nazarko berkata, masyarakat Islam akan terus mendesak untuk membuatkan suara mereka didengari untuk menamatkan perang di Gaza. “Sekurang-kurangnya kita mahu berada dalam pemikiran mereka.”

Hassan Abdel Salam, bekas profesor di Universiti Minnesota, Twin Cities dan pengasas bersama kempen `Singkirkan Harris’, yang menyokong calon Parti Hijau, Jill Stein berkata, pilihan anggota Kabinet Trump tidak mengejutkan, tetapi membuktikan secara lebih ekstrem bahawa pemilihan Trump membimbangkan.

“Dia seolah-olah akan segera melakukan agenda melampau Zionis,” katanya. “Kami sentiasa sangat ragu-ragu…Jelas sekali kami masih menunggu untuk melihat ke mana pentadbiran Trump akan pergi, tetapi nampaknya komuniti kami telah dipermainkan.”

Beberapa penyokong Trump yang beragama Islam dan Arab berharap Richard Grenell, bekas pemangku Pengarah Perisikan AS ketika pentadbiran lalu Trump, akan memainkan peranan penting selepas beliau mengetuai usaha berbulan-bulan untuk mendekati masyarakat Islam dan Arab-Amerika, malah diperkenalkan sebagai Setiausaha Negara yang berpotensi akan datang.

Seorang lagi sekutu penting Trump, Massad Boulos yang berketurunan Lubnan, bapa mentua kepada anak perempuan Trump, Tiffany, bertemu berulang kali dengan pemimpin Arab-Amerika dan Muslim.

Mereka berjanji kepada pengundi Arab-Amerika dan Islam bahawa Trump adalah calon keamanan yang akan bertindak pantas untuk menamatkan peperangan di Timur Tengah.

Trump juga membuat beberapa lawatan ke bandar-bandar yang mempunyai penduduk Arab-Amerika dan Islam yang besar, termasuk singgah di Dearborn, bandar majoriti Arab apabila dia mengumumkan mencintai orang Islam dan di Pittsburgh pula, memanggil gerakan “Muslim untuk Trump” sebagai pergerakan indah yang mahukan keamanan dan kestabilan.

Bagi penyokong tegar Trump seperti Datuk Bandar Dearborn Heights, Bill Bazzi yang menyokong Trump, dia bertemu Trump sebanyak tiga kali dan tetap percaya Trump akan berusaha menamatkan perang di Gaza walaupun selepas pelantikan Kabinet pro-Israel.

Rola Makki, warga AS keturunan Lubnan yang beragama Islam dan menjadi pemimpin mendekatkan pengundi Islam untuk Republikan di Michigan, bersetuju dengan Bazzi.

Namun, pengalaman ketika pentadbiran lalu Trump, membuktikan sebaliknya dan pemilihan penyokong tegar Israel dalam Kabinet baharu AS akan menguatkan cengkaman rejim Zionis dalam dasar luar AS.