Australia beli senjata perang RM50 bilion buatan Amerika

Australia kini merealisasikan perancangan yang diumumkan pada April 2024 bagi melancarkan strategi pertahanan yang membayangkan peningkatan mendadak dalam perbelanjaan sistem pertahanan negara. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

SYDNEY: Australia pada Selasa mengumumkan pembelian bernilai AS$4.7 bilion (RM20.3 bilion) bagi persenjataan tentera lautnya, melibatkan peluru berpandu jarak sederhana dan jauh buatan Amerika Syarikat yang canggih ketika ketegangan ketenteraan yang semakin memuncak di Asia-Pasifik.

Pembelian itu yang dianggap oleh Australia sebagai ‘pencapaian penting’, telah memperhebatkan semula pertahanan tentera laut negara itu selaras dengan strategi baharu yang diumumkan tahun ini untuk menghalang ‘taktik paksaan’ China di rantau berkenaan.

- Advertisement -

Australia dilaporkan turut akan membelanjakan RM30.2 bilion untuk memperoleh peluru berpandu SM-6 bawaan kapal, yang boleh menyerang pesawat dan peluru berpandu krus, serta peluru berpandu SM-2 Blok III C jarak sederhana, lapor Reuters.

“Australia menghadapi persekitaran geo-strategik yang paling kompleks sejak Perang Dunia Kedua. 

“Peluru berpandu ‘terkemuka di dunia’ akan memastikan rakyat Australia selamat, menghalang mana-mana musuh, dan mempertahankan kepentingan negara Australia pada zaman peluru berpandu,” kata Menteri Industri Pertahanan Australia, Pat Conroy.

Peluru berpandu itu akan digunakan secara progresif di tiga buah kapal pemusnah kelas Hobart Australia, serta kapal frigat anti-kapal selam kelas Hunter yang dirancang negara itu.

Australia pada April telah melancarkan strategi pertahanan yang membayangkan peningkatan mendadak dalam perbelanjaan pertahanan untuk mengatasi kelemahannya kepada musuh yang mengganggu perdagangan dan menghalang akses kepada laluan udara dan laut yang penting.

Selain membangunkan armada permukaannya dengan pantas, Australia merancang untuk menggunakan kapal selam ‘stealth’ berkuasa nuklear dalam perjanjian tiga pihak dengan Amerika Syarikat dan Britain yang dikenali sebagai ‘AUKUS’. -Agensi/– HARAKAHDAILY 22/10/2024