
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan didesak untuk memberikan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak dalam persempadanan semula yang mungkin dilakukan tahun ini atau tahun hadapan.
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata, ia sebagai menghormati Perjanjian Malaysia (MA) 63 yang ditandatangani sewaktu Sabah dan Sarawak menyatakan persetujuan untuk menyertai pembentukan negara ini.
“Dalam mengubah persempadanan semula ini saya sebagai wakil rakyat dari Sabah ingin mengingatkan kerajaan bahawa ada dokumen di dalam ‘Inter Governmental Committee Report’ yang menjadi sebahagian daripada MA63.
“Dalam perjanjian itu meletakkan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam perjanjian itu, dalam ‘Inter Governmental Committee Report’ harus menguasai satu pertiga daripada kerusi-kerusi Dewan Rakyat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas beliau, sewaktu pembentukan Malaysia, sebanyak 16 kerusi Parlimen diperuntukkan kepada Sabah, Sarawak (24) dan Singapura (15) berdasarkan perjanjian itu.
Katanya, apabila Singapura keluar daripada Malaysia, kuota sebanyak 15 kerusi untuk negara itu seharusnya diagihkan kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan semangat perjanjian itu.
“Kehadiran Sabah dan Sarawak dalam negara Malaysia ini, semangatnya kita harus kawal satu pertiga daripada kerusi Dewan Rakyat, semangat penubuhan negara ini.
“Tetapi lama kelamaan semangat ini hilang. Pelaksanaan yang lalu tidak langsung mengambil kira semangat pembentukan Malaysia ini agar Sabah Sarawak diberi satu pertiga daripada jumlah kerusi Dewan Rakyat,” katanya.
Tambah beliau, dalam pelaksanaan persempadanan semula yang akan dilakukan oleh kerajaan sama ada tahun ini atau tahun hadapan itu, semangat MA63 harus dikembalikan oleh kerajaan.
“Bukan kerana kita Sabah, Sarawak, tetapi itu adalah semangat pembentukan Malaysia. Kenapa ada semangat ini? Kerana ketika itu orang Sabah memberi syarat kita akan ‘join’ Malaysia, tetapi ini adalah perkara yang kita mahu kamu penuhi.
“Janji pada kami supaya kerajaan Persekutuan tidak menggubal undang-undang sesuka hati tanpa merujuk kepada kedua-dua negeri ini,” katanya.
Menurut beliau, sama ada rakan-rakan dari negeri-negeri lain di Semenanjung suka atau pun tidak ia harus diterima kerana itulah semangat penubuhan Malaysia yang harus dihormati. – HARAKAHDAILY 22/10/2024











