Kenapa hapuskan skim geran percuma usahawan bumiputera?

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan menghapuskan skim geran percuma kepada usahawan bumiputera oleh Menteri Ekonomi baru-baru ini dipersoalkan kerana sewajarnya ia dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) sebelum sebarang keputusan diumumkan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam sidang media pada 20 Mei lalu menyatakan bahawa kerajaan Madani tidak lagi memberikan geran percuma kepada  usahawan bumiputera berikutan penjajaran semula tiga  agensi bermandat bumiputera di bawah beliau iaitu Teraju, Yayasan Peneraju dan Ekuinas.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, tiga agensi berkenaan adalah bertanggungjawab membangunkan dan memperkasa ekosistem perniagaan bumiputera negara. 

“Sekiranya peranan agensi tersebut dihapuskan bagi membantu usahawan maka tiada keistimewan lagi kepada orang Melayu dan bumiputera.

“Sewajarnya peruntukan perlembagaan Perkara 153 (2) bagi membantu apa-apa bantuan khas dan sokongan kepada bumiputera terus dipelihara berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

“Tindakan menghapuskan Geran berkenaan adalah sebahagian daripada hak istimewa yang telah termaktub.

“Menteri ekonomi sewajarnya merujuk perkara ini kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan YDPA sebelum sebarang keputusan diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau,  Kerajaan Madani sepatutnya  menambah peruntukan geran ini dan bukan membuat tindakan untuk menghapuskannya. 

“Selain itu, kerajaan perlu meluaskan lagi geran ini kepada usahawan baharu yang berpotensi dan berdaya maju. Dengan ini, ekosistem perniagaan bumiputera boleh berkembang lebih lancar dan pesat.

“Bagi mempastikan Geran ini digunakan sebaiknya, satu jawatankuasa pemandu yang profesional dibentuk bagi menilai dan mengurus dana ini agar lebih telus dan berintegriti,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -