‘PRK KKB: Undi PN untuk bawa isu ke sidang DUN’

Nushi Mahfodz (kiri) di samping Khairul Azhari Saut.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada 11 Mei  diseru untuk turun memangkah undi memilih calon daripada PERIKATAN NASIONAL (PN), Khairul Azhari Saut yang dapat mengetengahkan isu-isu tempatan, infrastruktur, kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial ke persidangan DUN kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, sudah pasti anak tempatan yang lebih matang dan berpengalaman luas dalam pengurusan dan pergaulan, rapat dan menjiwai denyut nadi penduduk KKB adalah pilihan yang paling tepat untuk menjadi wakil ke Dewan.

- Advertisement -

“Tiba masanya kita menghantar referendum kepada pucuk pimpinan negeri dan negara. Bahawa rakyat tidak dapat menerima budaya politik zalim yang memihak kepada satu bangsa tetapi hostile (bermusuhan) kepada yang lain.

“Tunjukkan rakyat benci kerajaan yang melindungi dan mengkayakan kartel tetapi terus menerus melanyak rakyat dengan kenaikan tarif, pembangunan penempatan dan komersial tak seimbang dengan infrastruktur dan kemudahan awam.

“Sehingga rakyat menderita dalam perkhidmatan sub-par, kesesakan lalu lintas, banjir kilat dan tekanan ekonomi yang kian dahsyat.

Enough is enough (cukuplah, cukuplah) buktikan dengan undi anda pada PRK Kuala Kubu Bharu ini,” tegas beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Menurutnya lagi, ketika  berjalan bersama dengan Khairul Azhari pagi semalam (7 Mei), beliau terdengar khabar angin seruan untuk memboikot PRK KKB pada 11 Mei kelak.

“Janganlah begitu. Kita faham kemarahan dan keletihan rakyat, dengan drama politik yang tak berkesudahan. Tetapi, mengalah dengan mensia-siakan undi bukanlah jawapannya. Sayang sekali, jika hak kita sebagai warganegara dibazirkan tanpa membawa impak yang kita inginkan.

“Ikhlas dari saya, untuk sahabat-sahabat khususnya dari Umno, biarlah tarikh keramat 11 Mei, iaitu tarikh penubuhan Umno 78 tahun dahulu, menjadi saksi tekad keberanian kita mempertahankan negara dan bangsa.

“Calon DAP di Kuala Kubu Bharu (KKB), sekalipun didukung oleh kepimpinan tertinggi parti, bukanlah pilihan yang perlu diberikan undi secara semberono. 

“Hakikatnya, pilihan raya adalah medan dan platform yang sah untuk memilih wakil kita ke Dewan dari mana-mana calon yang layak, berkebolehan dan berintegriti.

“Kita lihat dengan mata kita sendiri, sejak Umno membawa DAP ke Parlimen, hanya kerugian demi kerugian yang menimpa rakyat negara ini,” ujar beliau menyedarkan rakyat mengenai kepentingan mengundi.

Contoh diberi beliau antara ialah, kerugiannya termasuklkah penarikan subsidi, pengenalan pelbagai cukai yang membebankan, beras tempatan ‘hilang ghaib’ dari pasaran, pengurangan subsidi haji, penarikan pencen, penguncupan penjawat awam, bahkan banyak lagi.

“Risau, semakin lama, ianya semakin memusnahkan masa depan negara yang telah kita bina sekian lama, dengan keringat dan air mata.

“Buat sahabat-sahabat saya yang berbangsa India, seperti seruan bekas pimpinan tinggi DAP, P Ramasamy, DAP hanya menjadikan ahli DAP dari keturunan Melayu dan India sebagai bunga perhiasan, sedangkan mereka hanya memperjuangkan kepentingan kelompok dan keluarga mereka sahaja.

“Contohnya, lihat sendiri bagaimana terujanya Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), untuk menambah baik infrastruktur awam KKB menjelang PRK KKB. Kebetulan, pegawainya sendiri yang bertanding di sini.

“Mereka kelihatannya kebal undang-undang, dan rakusnya mereka, sehingga sanggup menggunakan segenap organ kerajaan untuk mencengkam pembangkang. Entahlah, mana perginya reformasi yang dilaungkan sejak 25 tahun lalu setelah berada di puncak kuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -