Konvensyen bincang 16 seksyen KJS dibatal Mahkamah Persekutuan

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Syariah Kelantan yang diwujudkan kerajaan negeri akan mengadakan sidang pertama tidak lama lagi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, proses pembentukan jawatakankuasa itu sudah mencapai 65 peratus.

Katanya, persidangan Jawatankuasa Khas itu akan diadakan selepas Konvensyen Perundangan dan Pemantapan Syariah di Kompleks Balai Islam Lundang pada 21 Mei ini.

“Sekarang perbincangan untuk melengkapkan keanggotaan Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Syariah,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Pada 6 Mac lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan usul untuk menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen KJS (1) Kelantan 2019 yang diisytihar batal oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lepas.

Mohd Asri juga berkata, jawatankuasa khas tersebut dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Menurutnya juga konvensyen Perundangan dan Pemantapan Syariah turut membincangkan 16 seksyen yang terbatal dalam Enakmen KJS (1) Kelantan 2019 untuk dibawa semula ke sidang DUN.

Konvensyen terbabit akan dirasmikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Manakala ucaptama akan disampaikan bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Tiga kertas kerja akan dibentang pada konvensyen tersebut dan diulas pengulas jemputan yang terdiri daripada peguam dan pakar dalam bidang syariah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -