Iran serang Israel: Sah di sisi undang-undang PBB

Afnan Hamimi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Iran dalam Operasi ‘Janji Benar’ dengan menyerang Israel pada awal pagi semalam, Ahad (14 April) adalah sah di sisi undang-undang antarabangsa berpandukan Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, Artikel 51 tersebut membenarkan hak republik itu mempertahankan diri susulan serangan yang dilancarkan oleh Israel ke atas bangunan konsulatnya di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.

- Advertisement -

Pemuda PAS menurutnya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel laknatullah dan Amerika Syarikat yang terus hidup dalam penafian atas jenayah yang dilakukan terhadap negara-negara Islam, terutamanya di Palestin.

Oleh itu tambahnya, Pemuda PAS menyeru kerajaan Malaysia untuk memainkan peranan yang lebih tegas di peringkat antarabangsa dengan mendesak kerajaan-kerajaan Arab untuk campur tangan dalam menghentikan jenayah perang Israel dan rakan sekutunya terhadap Palestin dan negara-negara Islam di rantau itu.

“Selain itu, organisasi seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu didesak untuk bersuara dan bertindak dengan lebih tegas dalam melindungi hak dan kebebasan rakyat Palestin. 

“Dalam pada itu, Pemuda PAS berpandangan bahawa penyatuan negara-negara Islam adalah satu kewajipan tika ini bagi menghadapi serangan tentera Ahzab dunia moden ini.

“Kisah dan sejarah penaklukan wilayah Islam dan kejatuhan khilafah sehingga tertubuhnya negara haram Israel perlu kembali diinsafi, direnungi dan dijadikan senjata untuk meniup kembali semangat jihad umat Islam di seluruh dunia.

“Maka, Pemuda PAS menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendesak pihak kerajaan agar mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menghadapi konflik ini,” tambah beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Alor Setar dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan operasi ‘Janji Benar’ ini dikatakan berpunca daripada tindakan rejim Israel yang menyerang premis diplomatik Iran di Syria sehingga mengorbankan tujuh pegawai tinggi tenteranya, termasuklah komander dan timbalan komander bagi tentera elit Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pada 1 April lepas.

Beliau memetik kenyataan seorang pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Salawati Mat Basir bahawa tindakan Iran ini susulan serangan Israel yang keterlaluan dalam mencabar kedaulatan Iran kali ini.

“Setelah melibatkan kematian komander mereka, yang menurutnya, ia adalah sesuatu yang salah di sisi undang-undang antarabangsa kerana dianggap extra-territory juridical killing (pembunuhan undang-undang luar wilayah).

“Sedangkan sebelum ini, telah ada beberapa siri serangan rejim Israel ke atas negara Iran sehingga membunuh beberapa jeneral mereka. Tetapi, tiada tindak balas daripada negara Iran.

“Serentak dengan serangan Iran, kumpulan daripada Lubnan dan Yaman turut memulakan serangan dron ke atas wilayah yang diduduki negara haram itu,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan,  tindakan individu dalam menggencarkan doa, sumbangan dan boikot dalam segenap perkara adalah penting dilaksanakan tanpa gagal bagi melumpuhkan musuh-musuh Allah. 

“Sedarlah bahawa jihad ini bukan jihad saudara Muslim kita yang berada di sana sahaja. Tetapi, ini jihad kita semua kerana melibatkan saudara seagama dan tindakan mempertahankan kota suci umat Islam. 

“Maka, penyatuan ummah menjadi kewajipan dan perlu direalisasikan segera bagi menyahut seruan ini. Pemuda PAS mengharapkan Malaysia menjadi antara perintis dan suara utama yang menjayakan agenda ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -