Kempen Jom Solat dapat respons positif

- Advertisement -

KANGAR: Kempen Jom Solat (hayya ala solah) anjuran Kerajaan Negeri Perlis menunjukkan kesungguhan menggalakkan penduduk untuk berjaya dengan mendirikan solat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, kesungguhan itu disemarakkan lagi menerusi pemasangan papan tanda kempen di empat lokasi utama negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“Kerajaan negeri berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengajak seluruh rakyat di negeri ini mendirikan solat.

“Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli sendiri turun menjayakan kempen tersebut di masjid-masjid untuk solat Subuh berjemaah untuk melihat sendiri kehadiran jemaah di samping beramah mesra dengan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, kempen tersebut disempurnakan oleh Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) pada 2 November 2023 lepas dan diselaraskan ke seluruh masjid.

Papan tanda iklan kempen dinaikkan di Kompleks Makanan Laut Kuala Perlis, hadapan Hospital KPJ Kangar, hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin dan berhampiran jejambat Batas Liku, Arau.

Sementara itu, menurut Azmir, kempen tersebut mendapat respons positif daripada pengguna laman media sosial yang terkesan dengan kata-kata pada papan iklan tersebut.

“Kita letak ayat yang ringkas saja agar dapat memberi kesan kepada pengguna jalan raya iaitu nak berjaya jom solat.

“Alhamdulillah, saya tengok dalam laman Facebook antaranya ‘Saya anak Perlis’ kata-kata itu memberi kesan kepada dia walaupun ringkas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -