Pelajar Malaysia di Jordan dinasihat sentiasa waspada

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 267 pelajar Kelantan yang belajar di Jordan dinasihat supaya sentiasa berwaspada memandangkan kerajaan Jordan telah mengisytiharkan darurat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, sehingga kini laluan udara Jordan dibekukan buat sementara waktu.

“Kita menasihatkan semua mahasiswa terutamanya dari Kelantan yang berada di Jordan sentiasa peka dan berhubung dengan pihak Education Malaysia Jordan dan Kedutaan Malaysia.

“Sentiasa patuhi arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa agar keselamatan semua pelajar dapat dijaga sebaiknya,” katanya ketika dihubungi di sini.

Rantau Asia Barat berdepan konflik terbaharu apabila Iran melancar serangan dron dan misil dengan menyasarkan wilayah haram diduduki Zionis Israel.

Ia sebagai tindak balas terhadap rejim haram terbabit kerana melancar serangan udara terhadap bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria sehingga mengorbankan tujuh anggota Kor Pengawal Revolusi Iran pada 1 April lepas.

Wan Roslan juga berkata, semua pelajar Kelantan di Jordan hendaklah menjaga diri dan mengurangkan pergerakan di luar kampus dan kediaman.

Tambah beliau kerajaan Kelantan sentiasa mengikuti rapat perkembangan di Jordan bagi menjaga kebajikan mahasiswa.

Media melaporkan kesan serangan Iran menyebabkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menarik semua sekatan yang dikenakan di Palestin termasuk larangan semua aktiviti pendidikan dan perhimpunan besar.

Sementara itu Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan memberitahu pihaknya melancarkan serangan roket hari ini ke arah Bukit Golan yang dikuasai Israel.

Serangan itu dilancarkan beberapa jam selepas mereka menyertai serangan dron dan peluru berpandu oleh Iran yang menyasarkan Israel. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -