Konflik mungkin merebak jadi Perang Dunia Ke-3?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Konflik Timur Tengah khususnya perang Israel-Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu dan terkini serangan antara Israel-Iran dilihat memungkinkan beberapa senario yang boleh berlaku. 

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi mengandaikan salah satunya ialah akan merebak menjadi perang serantau dan tidak mustahil Perang Dunia Ketiga. 

“Segalanya boleh berlaku apabila negara haram Israel tidak berjaya mencapai objektif-objektif telah ditetapkan dalam operasi di Gaza untuk membunuh pimpinan HAMAS. Mereka tak berjaya untuk menghancurkan terowong-terowong HAMAS. 

“Mereka tidak berjaya untuk menyekat serangan HAMAS ke atas tanah-tanah yang ditakluk dan berada di serata wilayah negara haram Israel. Mereka tidak berjaya dengan segala kelengkapan yang mereka ada.

“Israel sekarang ini telah masuk dalam perangkap dan mereka tidak boleh keluar. Maka tidak ada cara lain, melainkan menarik kuasa lain untuk berperang bagi pihak mereka. Di sinilah mereka lakukan serangan ke atas Kedutaan Iran di Damsyik, Syria. 

“Tujuannya ialah untuk menarik Amerika (Syarikat) masuk dalam kancah peperangan ini. Kita tidak menolak kemungkinannya dan sekarang ini kita lihat Amerika sendiri pun berada dalam keadaan terdesak nak tolong Israel. 

“Lebih-lebih Iran telah beri amaran dan Iran sudah tentu ada ‘deal’ dengan Rusia. Jika sekiranya Amerika masuk campur, Rusia pun akan masuk campur,” ujarnya mengungkap salah satu senario itu yang akan turut membesarkan lagi perang sedia ada.

Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu mengandaikan, jika sekiranya Israel membalas, ia boleh merebak kepada perang serantau yang akan mengheret negara-negara lain masuk campur menyebabkan Iran berhati-hati dalam tindakannya.

“Sudah tentulah Iran mengambil kira dan mengambil pandangan-pandangan dan sudah tentulah ada di sana ‘deal’ antara Iran dan juga sekutunya Rusia dan China termasuk Korea Utara dan seumpamanya,” ujarnya.

Tambah beliau, semua perkara yang berlaku mutakhir ini telah menunjukkan perkembangan dalam hubungan antara negara dan perubahan sikap lebih-lebih lagi selepas Kedutaan Iran di Damsyik, Syria diserang Israel pada 1 April lalu.

Jelas Dr Muhammad Khalil, ia telah membuka satu lembaran baru konflik di mana Iran dengan  prinsip dalam ketenteraannya sekali-kali tidak akan menyerang negara lain, melainkan negara ataupun tanah airnya diserang. 

“Sebab itulah apabila Israel menyerang Kedutaan Iran, maka ini telah melanggar dan telah menjangkau garisan merah, maka di situlah Iran bertindak dengan serangan yang berlaku pada malam tadi (kelmarin). 

“Jadi saya kira konflik ini dengan perkembangan terbaru yang berlaku akan akan terus melebar dan akan terus merebak di mana ini menunjukkan kepada kita sebenarnya negara haram Israel berada dalam ‘mood’ kekalahan. 

“Mereka tak boleh nak menyelamatkan diri mereka. Konflik dalaman mereka makin hari makin parah. Antara ‘group’ yang ekstrem dengan ‘group’ yang sekular. 

“Kerana (Benjamin) Netanyahu yang menjadi ketua kerajaan pada hari ini, dia tidak dapat tidak, mesti meneruskan peperangan ini kalau dia berundur, dia akan dipenjarakan,” ujarnya.

Beliau melihat secara positif semua ķonflik yang berlaku itu sebenarnya diaturkan Allah SWT dan akan mempercepatkan pembebasan Baitul Maqdis dan umat akhirnya dapat bersolat di Masjidil Aqsa. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -