Kenapa Iran begitu digeruni, ditakuti oleh Barat?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Republik Islam Iran begitu digeruni dan ditakuti oleh Israel serta sekutu-sekutunya kerana terbentuk ‘di luar radar’ yang tidak mengikut telunjuk dan percaturan daripada imperialis Barat.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, apatah lagi apabila Iran melancarkan serangan langsung ke atas negara haram Israel berbanding sebelum ini menerusi proksi-proksi.

Bahkan menurutnya, Iran dalam menjangkakan kemungkinan reaksi balas Israel, telah terlebih dahulu memberi amaran untuk mereka bertindak lebih dahsyat ke atas negara haram rejim pengganas tersebut.

Kekuatan Iran tersebut bahkan dikupasnya kerana berbeza daripada rancangan penjajahan dan penjarahan kuasa Barat yang bersekutu membina empayar besar selepas Perang Dunia Pertama.

Malah setelah itu menurutnya, wujud gerakan Zionis untuk kembali ke Palestin dan perancangan rapi telah disusun hingga menjatuhkan Kerajaan Islam Uthmaniyah serta melemahkan umat Islam.

Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu menegaskan perkara tersebut ketika bersiaran langsung dalam slot Serambi Dunia Islam membicarakan ‘Perkembangan Terkini Serangan Iran Ke Atas Israel’, malam tadi.

“Maka berlakulah Perjanjian Sykes Picot untuk memecahkan dunia Islam yang pada ketika itu telah lama berada di bawah Kerajaan Islam Uthmaniyah. Akhirnya dipecahkan kepada bangsa dan mazhab. Sehingga bangsa Arab diwujudkan lebih daripada 10 negara. 

“Apabila mereka berjaya memecahkan wilayah umat Islam begitu luas ini, maka mereka telah berjaya untuk melemahkan umat Islam. Maka setiap negara ini mereka pegang. Ketua-ketua tak kiralah atas nama rajakah, sultankah, presidenkah, mereka pegang. 

“Dari sudut ketenteraan, ekonomi, media dan lain-lain lagi. Dari sudut ketenteraan sebagai contoh, negara-negara ni tidak boleh membina kekuatan ketenteraan mereka sendiri. Mereka mesti membeli daripada Amerika dan negara-negara Barat lain. 

“Dari sudut ekonomi, mereka bergantung kepada bantuan kewangan daripada Amerika dan negara-negara Barat. Semuanya berada di bawah radar dan di bawah telunjuk Amerika Syarikat dan kuasa Barat,” jelas beliau.

Sebab itu katanya, tidak pelik sikap diambil oleh negara-negara Arab di mana mereka secara tidak langsung seolah-olah menyokong dan mendukung negara haram Israel secara senyap ataupun secara zahir, tetapi tidak ada kecaman apabila Iran diserang.

Begitu juga beritahu beliau, ketika Yaman bertindak menyekat kapal-kapal laut penghantaran barang ke Israel, tetapi terdapat negara-negara Arab berkenaan yang membenarkan laluan menerusi negara mereka.

Pun begitu jelas Dr Muhammad Khalil, pendirian sikap oleh negara, kerajaan dan rakyat perlu dibezakan kerana kebanyakan rakyat di negara-negara tersebut menyokong dan mendukung perjuangan Palestin walaupun kerajaan mereka mendukacitakan.

Beliau turut memetik pandangan daripada seorang penganalisis politik Timur Tengah iaitu Ustaz Abdul Bari Akhwan di mana merumuskan kumpulan negara-negara dalam isu Palestin kepada dua, iaitu menyokong normalisasi dan yang berjuang menentang Israel.

Turut diperincikannya adalah sikap beberapa negara Arab yang masih menjaga hubungan dengan Israel, tetapi ketika sama membantu Palestin atau bersuara terhadap tindakan kejam rejim terhadap Gaza. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -