‘Bezakan antara sikap kerajaan dengan rakyat’

Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dianggap sangat luar biasa berbanding tahun-tahun sebelum ini berikutan pelbagai konflik peringkat antarabangsa yang berlaku khususnya di bumi Gaza, Palestin.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, umat Islam tidak seharusnya melihat perkara itu sebagai sesuatu yang pelik kerana peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam sirah Nabi SAW akan berulang di sepanjang zaman.  

- Advertisement -

“Watak adalah sama, namun pelakon-pelakon adalah berbeza. Inilah yang sedang kita lihat dan berlaku ke atas saudara-saudara kita di bumi Palestin,” katanya. 

Menurutnya, konflik berkenaan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa serangan Iran ke atas negara haram Israel malam tadi rentetan daripada pencerobohan dan pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh Israel. 

“Serangan Israel terhadap konsulat Iran di Damsyik, Syria jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan seolah-seolah menyerang bumi Iran itu sendiri”, katanya. 

Beliau dalam pada itu berkata, pertembungan yang sedang berlaku pada hari ini telah beralih daripada pertembungan proksi kepada pertembungan secara terus antara Iran dan Israel. 

“Apa yang sedang berlaku pada hari ini adalah satu perkembangan yang sangat besar impaknya kepada konflik di Timur Tengah dan boleh membawa kepada perang serantau mahupun perang dunia.

“Perkembangan ini juga sangat positif terhadap perjuangan untuk membebaskan Baitulmaqdis, di sinilah kita (umat Islam) perlu bersatu hati tanpa mengira bangsa, kaum, mazhab dan keturunan bagi membebaskan bumi Palestin,”  tambahnya. 

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara berjudul, Serambi Dunia Islam; Perkembangan Terkini Serangan Iran ke atas Israel pada malam tadi, yang boleh ditonton menerusi saluran Facebook HarakahDaily.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa, masyarakat dunia tidak seharusnya pelik dengan sikap yang diambil oleh sesetengah negara Arab yang seolah-olah menyokong dan mendokong negara haram Israel secara senyap ataupun secara zahir. 

“Apa yang berlaku menunjukkan kepada kita bahawa kelemahan yang berlaku dalam negara-negara Arab itu sendiri. Di sini kita perlu bezakan antara sikap negara, kerajaan dengan sikap rakyat.

“Sikap rakyat tidak menjadi masalah, kerana rakyat menyokong dan mendokong terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza,” tegas beliau. 

Beliau turut menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memberikan sokongan terhadap perjuangan ini tanpa mengira latar belakang. 

“Tidak timbul isu negara Iran bermazhab Syiah, tidak timbul isu negara Iran berbangsa Parsi dan seumpamanya. Selagi mana usaha itu datang daripada umat Islam, kita mestilah menyokong dan mendokong,” katanya.  – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -