SPAN beri jaminan bekalan air di Kelantan selesai 2028

Menteri Besar dan anggota Exco pada majlis perasmian pecah tanah pembinaan LRA Bukit Chupak, Gua Musang.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memberi jaminan masalah bekalan air di Kelantan dijangka selesai pada tahun 2028 selepas projek pembinaan loji rawatan air (LRA) di peringkat jajahan siap.

- Advertisement -

Ketika itu LRA dijangka dapat membekalkan 270 juta liter sehari (JLH) kepada pengguna di seluruh Kelantan.

LRA dalam pembinaan sekarang antaranya di Tok Bali, Pasir Puteh; Pengkalan Nangka, Tumpat; Bukit Chupak, Gua Musang; Kelar 2, Pasir Mas; Machang; Tanjong Mas dan Tok Jaafar, Kota Bharu.

Selain itu SPAN turut memberi tumpuan penukaran paip lama sejauh 251.82 kilometer yang melibatkan peruntukan RM138.50 juta.

Pengerusi SPAN Charles Anthony Santiago berkata, agensi terbabit melakukan penambahan sumber air melalui pembinaan telaga tiub berkapasiti 24 JLH di Chicha, Kubang Kerian; Wakaf Bharu, Tumpat, Kampung Puteh, Kota Bharu dan Ketereh.

Menurutnya juga projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dengan kapasiti 500 JLH sekarang di peringkat kajian dan reka bentuk.

“LRA Machang yang berkapasiti 250 JLH pula dibina melalui tawaran pinjaman mudah kepada kerajaan Kelantan,” katanya seperti dilapor sebuah akhbar hari ini.

Pada Ramadan lepas Menteri Besar, Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, semua kerajaan negeri di negara ini memerlukan bantuan kerajaan Pusat untuk menambah baik bekalan air.

“Kita minta geran, Persekutuan pula nak bagi bentuk pinjaman. Sedangkan ada sebab kita minta geran kerana sepanjang 33 tahun Kelantan ditadbir PAS Pusat tidak pernah bagi geran.

“Pusat kata sekarang polisi tidak ada geran, tak apa polisi itu, tetapi kena nilai semula ketika negeri lain dapat geran Kelantan tidak boleh,” katanya.

Kelantan sebelum ini diberi pinjaman mudah sebanyak RM600 juta selepas 13 tahun tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan Pusat bagi meningkatkan bekalan air kepada rakyat.

Sementara itu masalah bekalan air bukan sahaja berlaku di Kelantan, malah di negeri yang terajui PH-BN turut mengalami isu serupa.

Di Pulau Pinang lebih 5,000 penduduk di Flat Bukit Gedung memberitahu mereka mengalami masalah tekanan air rendah sejak awal Ramadan.

Media melaporkan penduduk yang tinggal di 980 unit kediaman di 20 blok menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan hambar kerana berdepan gangguan bekalan air.

Masalah serupa juga berlaku di Pahang dan negeri-negeri lain ekoran cuaca panas sekarang. Bagaimanapun media hanya berminat memberi tumpuan masalah yang berlaku di Kelantan. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -