Muhtar dilantik CEO Kumpulan EPIC yang baharu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad berbesar hati mengumumkan pelantikan Ts. Muhtar Suhaili sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan EPIC yang baharu berkuat kuasa 17 April ini.

- Advertisement -

EPIC Berhad memaklumkan beliau menggantikan Ridzuan Ali yang telah menamatkan perkhidmatan bersama syarikat, esok.

Menurut EPIC, pelantikan itu juga merupakan kenaikan pangkat buat Muhtar yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC sejak 1 Disember 2022.

Menurut EPIC, Muhtar mempunyai pengalaman lebih dari 20 tahun dalam industri minyak dan gas, automotif, komoditi, pengurusan pelabuhan, sektor logistik, dan tenaga boleh diperbaharui.

Beliau telah mendapat pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Mekatronik.

Beliau kemudiannya telah melanjutkan pelajaran di Curtin University Australia serta memperoleh Ijazah Sarjana Teknologi Petroleum.

Beliau merupakan Teknologis Profesional dan kini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan.

Selain itu, Muhtar juga telah mengikuti kursus kepimpinan eksekutif di Harvard Bussiness School dan Saïd Business School, University of Oxford.

Sebelum menyertai EPIC Berhad pada Disember 2022, Muhtar merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (Chief Executive Officer (CEO)) di Malaysian Timber Council (MTC), dan sebelumnya berkhidmat bersama Shell selama 15 tahun dan Perodua Auto Corporation Sdn Bhd.

Beliau juga pernah diamanahkan sebagai Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

Muhtar mempunyai pengalaman bekerja di Malaysia dan luar negara, iaitu di Belanda dan Jerman, dan mendapat pendedahan meluas hasil daripada lawatan ke 39 negara di seluruh dunia.

Menurut EPIC Berhad lagi, misi Muhtar adalah untuk menjana pertumbuhan perniagaan syarikat di samping memperkasa sumber tenaga modal insan dengan memanfaatkan kepakaran dan rangkaian beliau di sektor minyak dan gas.

“Muhtar berhasrat menggunakan pengalaman mengendalikan pelbagai projek mega dan pengurusan kontrak perniagaan di peringkat tempatan mahupun luar negara untuk membawa EPIC ke peringkat kejayaan yang lebih tinggi.

“Dengan pengalaman dan kepakaran yang luas, Kumpulan EPIC yakin bahawa di bawah kepimpinan Muhtar Suhaili, Kumpulan EPIC mampu untuk terus meningkatkan prestasinya dalam membangunkan syarikat sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan Negeri Terengganu khususnya selaras dengan motto ‘Maju, Berkat, Sejahtera’,” ujar EPIC Berhad dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, seluruh warga kerja Kumpulan EPIC mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Muhtar.

“Semoga dengan segala pengalaman dan kebolehan, beliau dapat membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi. Selamat menjalani tugasan baharu secara rasmi,” ujarnya.

Sementara itu, EPIC Berhad turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Ridzuan atas curahan bakti sepanjang berkhidmat bersama syarikat.

Ridzuan menyertai EPIC Berhad pada April 2022 dan telah secara rasmi menamatkan perkhidmatan pada April 2024.

“Segala jasa dan bakti sepanjang tempoh beliau bersama syarikat amat dihargai dan disanjung tinggi.

“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan peliharaan-Nya kepada Encik Ridzuan. Selamat maju jaya di dalam apa jua bidang diceburi nanti,” ujar anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc itu. – HARAKAHDAILY 15/4/2024

- Advertisement -