Perutusan Aidilfitri Menteri Besar Terengganu

Aidilfitri Sederhana, Lebih Bermakna

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, setinggi syukur kepada Ilahi atas peluang menjadi tetamu Ramadan dan nikmat meraikan lebaran pada tahun ini.

Hari Raya Aidilfitri merupakan hadiah kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya mengawal hawa nafsu dan meninggalkan segala larangan Allah SWT.

- Advertisement -

Biarpun Ramadan telah meninggalkan kita, moga amalan-amalan yang dilakukan selama sebulan lalu menjadikan diri kita terus istiqamah dalam perkara kebaikan.

Aidilfitri lebih bermakna seandainya disambut penuh sederhana apatah lagi dengan situasi kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini. Komitmen para ibu bapa yang perlu meletakkan keutamaan antara dua perkara iaitu perbelanjaan persekolahan dan persiapan Aidilfitri.

Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada anak-anak syarikat Terengganu yang telah menyalurkan sumbangan melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada golongan asnaf, anak yatim dan mereka yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan ini.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, hargai keberadaan keluarga masing-masing, gunakan kesempatan ini untuk meleraikan sengketa dan saling bermaafan, kunjung-mengunjung sanak-saudara dan kenalan, jaga adab serta hormat-menghormati sesama kita.

Buat para perantau, selamat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bertemu insan tersayang.
Dalam kegembiraan kita menyambut Aidilfitri, tidak luput ingatan buat saudara Islam kita di Palestin yang tidak berhenti berjuang mempertahankan tanah air umat Islam tika mereka dalam serba kekurangan. Jika kita merasa kekurangan, ingatlah bahawa mereka di sana hampir hilang semua yang mereka miliki.

Mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam terutama rakyat Terengganu yang dikasihi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
. – HARAKAHDAILY 10/4/2024

- Advertisement -