Perutusan Aidilfitri Menteri Besar Kedah

- Advertisement -

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar
Walillahhilhamd’

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita dapat menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan yang lalu.

Sekarang tiba masanya untuk kita meraikan Aidilfitri sebagai hari kemenangan.

- Advertisement -

Walaupun Hari Raya sinonim dengan kegembiraan, janganlah kita berlebihan dalam meraikannya.

Hari raya dalam Islam disyariatkan sebagai suatu ibadah, bukan tradisi kebudayaan semata-mata.

Justeru, jangan kita keterlaluan hingga gugur segala keberkatan dan nilai-nilai takwa yang telah kita asuh pada diri sepanjang Ramadan.

Jaga batas-batas pergaulan. Apabila sudah bertemu dan berhimpun, jaga aurat termasuk dalam hubungan ipar duai dan jangan sekali-kali membazir. Pembaziran cukup banyak berlaku pada musim raya.

Satu perkara yang sangat penting saya nak pesan, tolong jaga keselamatan terutama sekali di jalan raya.

Saya berasa sangat sedih apabila setiap kali musim raya kita dihadapkan dengan laporan kemalangan hingga meragut nyawa yang banyak.

Tolonglah pakat-pakat jaga, waspada dan patuhi undang-undang. Jangan bawa kesedihan kepada keluarga yang sepatutnya berhari raya dengan gembira.

Muslimin Muslimat yang saya kasihi,

Dalam kita meraikan hari kemenangan, saya yakin masih ramai yang merindui Ramadan.

Kita sendiri tidak pasti adakah masih ada peluang untuk kita sampai ke bulan Ramadan lagi pada tahun akan datang.

Bagi terus mengekalkan keberkatan hidup setelah melepasi ‘Madrasah Ramadan’, janganlah kita lepaskan peluang untuk berpuasa pada bulan Syawal ini yang mana pahalanya sama seperti berpuasa sepanjang tahun.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan anak-anak Kedah di perantauan yang pulang berhari raya di kampung halaman.

Kepada semua warga Kedah Darul Aman, Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin.
Salam hormat.

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Menteri Besar Kedah.
– HARAKAHDAILY 10/4/2024

- Advertisement -