Perutusan Aidilfitri Pesuruhjaya PAS Kelantan

- Advertisement -

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَ الْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَانًۭا وَيُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلْفَضْلِ ٱلْعَظِيمِ ٢٩
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar. (Surah al-Anfal, ayat 29).

- Advertisement -

Pertamanya, marilah kita melafazkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah atas limpah rahmat dan kurnia nikmat-Nya kerana telah berjaya menempuh madrasah Ramadan 1445H sehingga kita meraih kemenangan untuk menyambut ketibaan Syawal 1445 dengan penuh kesyukuran dalam suasana yang aman, damai dan sejahtera.

Islam mensyariatkan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri lantaran bagi melahirkan perasaan gembira atas kurniaan-Nya yang melimpah ruah. Kalimat ‘fitri’ bermaksud fitrah, iaitu kejayaan kembali kepada fitrah yang asal, dilahirkan bersih daripada dosa dan noda, lalu Allah SWT menganugerahkan satu hari istimewa sebagai tanda kemenangan setelah menempuhi sebuah ujian.

Kita berharap pelaksanaan segala perintah Allah Azzawajalla dan meninggalkan larangan-Nya dalam madrasah Ramadan dapat dikekalkan sampai bila-bila kerana itulah kejayaan sebenar bagi orang mukmin yang meraih taqwa.

Lantaran itu, beruntunglah mereka yang telah mencapai tujuan Ramadan yang kembali kepada fitrah dengan pengampunan serta rahmat Allah S.W.T. Semoga kita tergolong di dalam golongan mereka yang diterima Allah S.W.T.

Apa yang penting kita wajib mengambil iktibar dari ibadat puasa dalam memahami erti perjuangan dan pengorbanan dalam mencari keredaan Allah SWT.

Bulan Ramadan dimana al-Quran yang diturunkan adalah mukjizat yang perlu kita pegang sampai bila-bila. Jadikan al-Quran sebagai petunjuk dalam semua urusan kehidupan samada dalam perkara ibadah, akhlak, keluarga, muamalat, politik, ekonomi, kemasyarakatan dan bernegara.

‎إِنَّ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ يَهۡدِي لِلَّتِي هِيَ أَقۡوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرٗا كَبِيرٗا
‎وَأَنَّ ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡأٓخِرَةِ أَعۡتَدۡنَا لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul, dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (Al-Isra’ 9-10)

Oleh itu, tarbiyah Ramadan perlu diterjemahkan sebagai medan mengumpul kekuatan agar dapat dijadikan sebagai bekalan kepada semangat perjuangan dan roh pengorbanan yang hebat ini sebagai pejuang dalam gerakan Islam.

Pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ikatan ukhuwah persaudaraan sesama kita dengan berpaksikan ikatan iman dan Islam, menyemai sifat ihsan dan tolong menolong sesama kita. Jangan kita lupa untuk terus memanjatkan doa sebagai tanda solidariti kepada saudara seakidah kita di bumi Palestin.

Saya dengan segala hormat dan sukacitanya menjemput muslimin dan muslimat, seluruh rakyat Kelantan, anak Kelantan di perantauan dan masyarakat pelbagai kaum untuk memeriahkan Majlis Hari Raya PAS Kelantan yang akan diadakan pada Khamis, 09 Syawal 1445 bersamaan 18 April 2024 bertempat di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Akhir kalam, saya mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat negeri Kelantan termasuk anak-anak Kelantan di perantauan.

‎تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ تَقَبَّلْ ياَ كَرِيْمُ وَجَعَلَنَا اللهُ وَاِيَّاكُمْ مِنَ الْعَاءِدِيْنَ وَالْفَائِزِيْنَ وَالْمَقْبُوْلِيْنَ كُلُّ عاَمٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ

Adil, Prihatin & Berkebajikan

YB Dato’ Bentara Kanan
Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob
Pesuruhjaya PAS Kelantan
– HARAKAHDAILY 10/4/2024

- Advertisement -