TANJONG KARANG: Semua pengundi wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini agak bertuah kerana masing-masing telah diberikan sumbangan baju raya secara percuma.
Merealisasikan inisiatif yang pertama kali diadakan semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DUN Permatang yang juga Ketua Perangan Srikandi Bersatu Malaysia, Nurul Syazwani Noh telah mengadakan program bersejarah itu, sebagai menandakan kesungguhan dan kepedulian beliau terhadap masyarakat tempatan.
Beliau berkata, menyedari akan keperluan dan kehendak masyarakat, pihaknya berhasrat untuk menceriakan raya pengundi di DUN tersebut, terutama golongan wanita dengan memberikan sumbangan yang penuh bermakna itu.
“Program ini telah menarik perhatian hampir 500 orang penerima,” katanya.
Tambah beliau, dengan penuh semangat, pejabat DUN Permatang,di sini, menjadi tempat pelaksanaan program tersebut dari jam 12 tengah hari hingga 5 petang.
“Keputusan untuk menjadikan pejabat DUN Permatang sebagai lokasi program ini menunjukkan kesungguhan kami dalam memastikan aksesibiliti kepada semua penerima, demi memastikan setiap individu yang berhak mendapat manfaat daripada program ini dapat menyertai tanpa sebarang kesukaran,” katanya.
Melalui program ini, ujar Nurul, tidak hanya sekadar pakaian yang diberikan, tetapi juga kebahagiaan dan semangat persaudaraan turut disampaikan kepada setiap penerima.
Menurutnya, hasil kerjasama dengan Jakel Textile diharapkan dapat mewujudkan rasa kebersamaan dan kebahagiaan dalam kalangan komuniti tempatan.
“Diharapkan dengan adanya program ini, ia dapat menjadi permulaan bagi lebih banyak lagi inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan yang akan dilakukan oleh pihak berkenaan.
“Kita semua boleh bersama-sama menyokong dan menyumbangkan kepada kebaikan yang lebih besar demi kesejahteraan bersama
“Semoga segala amal ibadah dan kebaikan yang dilakukan akan diberkati dan mendapat ganjaran yang setimpal dari Yang Maha Esa,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2024