Aliran trafik dijangka meningkat hari ini

Tangkap layar paparan CCTV lebuh raya di Plaza Tol Kuala Terengganu menunjukkan trafik bergerak perlahan susulan tol percuma pada hari ini dan esok. (FOTO: LLM)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aliran trafik dijangka meningkat susulan pengguna jalan raya mengambil peluang pemberian tol percuma di semua lebuh raya bermula hari ini.

Merujuk kepada laman sesawang paparan kamera litar tertutup (CCTV) lebuh raya melalui portal Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), didapati setakat jam 12 tengah hari ini, jumlah kenderaan masih terkawal dan trafik di beberapa lebuh raya utama lancar.

- Advertisement -

Sementara itu, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dilaporkan lancar untuk dilalui setakat ini. Namun, trafik bergerak sedikit perlahan di LPT2 iaitu Plaza Tol Kuala Terengganu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

Dalam pada itu, tol percuma selama dua hari kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja sebagai meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat beragama Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Inisiatif tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 April (Isnin) dan akan berakhir jam 11.59 malam, 9 April (Selasa).

Pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali di plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim. – HARAKAHDAILY 8/4/2024

- Advertisement -