Penduduk Palestin kembali ke Khan Younis

Penduduk Palestin kembali ke Khan Younis untuk memeriksa keadaan rumah mereka selepas tentera Israel berundur dari situ.
- Advertisement -

GAZA: “Bau seperti kematian,” kata Maha Thaer, ibu kepada empat anak, ketika dia kembali ke Khan Younis, bandar di selatan Gaza yang musnah selepas tentera Israel berundur.

“Kami tidak mempunyai bandar lagi – hanya runtuhan. Tiada apa-apa yang tinggal. Saya tidak dapat menahan diri daripada menangis ketika berjalan di jalan raya,” kata wanita berusia 38 tahun itu.

- Advertisement -

“Semua jalan raya juga dimusnahkan. Baunya…saya melihat orang menggali dan membawa keluar mayat,” kata Thaer, yang sebahagian rumahnya musnah.

Tidak lama selepas tentera Israel berundur, orang ramai mula kembali ke landskap yang musnah. Penduduk Khan Younis kembali untuk mencari apa yang tinggal di rumah mereka.

Hampir 400,000 orang mendiami Khan Younis dan sekitar sebelum 7 Oktober. Kebanyakan kawasan itu kini musnah selepas beberapa bulan pengeboman dan serangan Israel.

Golongan lelaki, termasuk kanak-kanak menaiki kereta keldai, basikal dan trak pikap menuju ke utara dari Rafah di bahagian selatan Gaza, lokasi lebih 1.5 juta rakyat Palestin berlindung daripada pencerobohan darat dan pengeboman tanpa henti Israel.

Mereka melepasi Hospital Al-Salam yang terbakar, dengan hampir semua bangunan di sekeliling rebah ke bumi.

Thaer dari kawasan Hamad yang mewah di barat Khan Younis, berkata dia “sangat terkejut dan sedih”.

“Tiada dinding atau tingkap. Kebanyakan bangunan diletupkan sepenuhnya,” katanya.

Thaer memberitahu akan kembali semula ke pangsapurinya yang rosak teruk. “Walaupun tidak sesuai untuk didiami, tetapi di situ lebih baik daripada khemah.”

Jiran-jirannya mengalami musibah yang lebih besar. “Mereka mendapati rumah mereka musnah dan tidak tahu ke mana mereka akan pergi,” katanya.

Rakyat Palestin lain di Gaza membawa tilam di atas kepala dengan harapan masih mempunyai rumah untuk meletakkannya.

Seorang daripada mereka yang meninggalkan Rafah, semalam, memanjat timbunan runtuhan bangunan di Khan Younis yang pernah menjadi rumahnya.

Segala-gala di sekelilingnya hancur, gambar menunjukkan lelaki itu berdiri di antara konkrit pecah dan bumbung besi beralun. Tidak ada satu pun struktur yang kelihatan tidak disentuh oleh peperangan. Imej lain menunjukkan sebahagian besar bandar itu rata.

Tentera Israel menyatakan Divisyen Ke-98 tentera darat rejim itu keluar dari bandar selatan, semalam untuk “pemulihan”.

“Kami tidak perlu kekal… Kami melakukan segala yang kami mampu di sana,” kata seorang pegawai tentera kepada akhbar Haaretz.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 33,175 orang di wilayah itu, kebanyakan wanita dan kanak-kanak. – TRT WORLD

- Advertisement -