Kerajaan Madani alami sindrom penafian

Isham (kanan) dan Khairul Nadzir dalam program Bicara HD berjudul, Korupsi Kronisme dan Nepotisme Di Era Madani di Kuala Lumpur pada hari ini, 4 April 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee).
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terdapat kemungkinan bahawa Kerajaan Madani mempunyai sindrom penafian terhadap keadaan rakyat pada masa ini.

Mantan Majlis Tertinggi UMNO Tuan Isham Jalil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada memberi ucapan pada empat hari yang lepas bahawa harga barang pada hari ini jauh lebih murah daripada sebelum ini.

“Bila saya dengar begitu maka saya tertanya-tanya dekat mana Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) shopping bila dikatakan harga barang murah?” katanya ketika menjawab soalan Ketua Pegawai Operasi Harakah, Khairul Nadzir Helmi Azhar mengenai dakwaan kerajaan yang menyatakan kononnya harga barang kini berada dalam keadaan baik.

- Advertisement -

Menurut Isham, kenyataan tersebut meningkatkan lagi kemarahan rakyat kerana hakikatnya ialah harga barangan pada masa ini adalah jauh lebih mahal daripada zaman pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Tambah beliau, tindakan sebegini seolah-olah menunjukkan kerajaan ingin bermain persepsi terhadap segala dakwaan pihak pembangkang yang mana perkara tersebut tidak seharusnya berlaku.

“Sepatutnya kerajaan tidak boleh membuat begitu kerana rakyat yang bayar gaji kepada pihak kerajaan ini berbeza dengan pihak pembangkang.

“Maka kerajaan seharusnya perlu bersikap profesional dalam melakukan pentadbiran kerana gaji mereka dibayar oleh rakyat dan seharusnya apa pun kenyataan yang diberikan perlu berasaskan fakta semata-mata.

“Bila kerajaan asyik menyatakan harga barang murah ini sebenarnya permainan persepsi dan ini yang menyebabkan rakyat semakin tidak percaya kepada pihak kerajaan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Bicara HD berjudul, Korupsi Kronisme dan Nepotisme Di Era Madani yang diadakan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini, yang juga boleh diikuti melalui Facebook HarakahDaily.

Khairul Nadzir hadir sebagai moderator program Bicara HD kali ini. Ikuti video penuh program BicaraHD tersebut di bawah:

Dalam pada itu, Isham menyatakan bahawa nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) pada hari ini juga telah jatuh secara mendadak iaitu sebanyak 1 Dolar AS bersamaan RM4.75.

Kata beliau, ini menimbulkan satu persoalan sama ada wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan bagi mengukuhkan semula nilai mata wang tersebut.

“Saya ada tanya soalan mengenai perkara tersebut kepada Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri masih tak mahu jawab tetapi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP menjawab bahawa beliau ambil kesempatan apabila nilai mata wang ringgit di bawah pasaran tetapi terma-termanya adalah rahsia sulit.

“Itu jelas menunjukkan yang beliau buat perkara tersebut tetapi hakikatnya nilai mata wang negara kita semakin turun nilai dan mengapa kita perlu risau kerana kebanyakan barangan kita ialah barangan import termasuklah beras.

“Ini semua berkait rapat kerana bila perkara tersebut berlaku maka kenaikan kos barangan boleh kita rasa lebih-lebih lagi apabila kita membeli barangan di pasar malam,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

- Advertisement -