Tidak perlu teruskan RCI Batu Puteh

Muhammad Rafique Rashid Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak seharusnya perlu untuk meneruskan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes kedaulatan Batu Puteh.

Ahli Jawatankuasa Peguam Selangor Muhammad Rafique Rashid Ali berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang sentiasa dikenali sebagai gentleman di mata dunia.

- Advertisement -

“Ini kerana kalau masuk dalam satu perjanjian negara ini akan terima apa sahaja keputusan mahkamah antarabangsa seperti mana dalam kes Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan

“Malah negara Indonesia dan Filipina pun menerima keputusan begitu yang telah ditetapkan oleh pihak Mahkamah Antarabangsa,” katanya ketika dalam perbincangan isu semasa bersama-sama Muhamad Suffi Kamari dalam sesi live streaming HarakahDaily.

Menurut beliau, pihak Mahkamah Antarabangsa telah memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan milik negara Singapura sejak tahun 2008 lagi.

Tambah beliau, ini kerana terdapat beberapa sebab yang membolehkan Singapura memenangi kes tersebut dalam keputusan mahkamah antarabangsa.

“Malaysia telah tewas pada ketika itu dan Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir sendiri telah mendengar nasihat dan pandangan daripada peguam-peguam yang dilantik oleh Tan Sri Apandi Ali sebelum membuat keputusan untuk tidak meneruskan rayuan mengenai kekalahan dalam kes tersebut,

“Jadi kalau nak kata keputusan tersebut dibuat secara tersembunyi dan tidak dimaklumkan kepada mana-mana pihak adalah satu perkara yang menghairankan,

“Jadi untuk meneruskan semula RCI Batu Puteh Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah satu perkara yang tidak wajar kerana sememangnya telah menjadi milik Singapura,” ujarnya.

Beliau menyatakan kerajaan seharusnya lebih memfokuskan untuk menyelamatkan pulau-pulau yang sedia ada berbanding dengan melakukan sedemikian.

Kata beliau, terdapat elemen dendam politik yang berlaku dalam melakukan RCI sebegitu yang mana perkara tersebut tidak seharusnya diberikan keutamaan.

“Apakah kebaikan kepada negara sekiranya RCI Batu Puteh dilakukan semula? Adakah ianya jamin dapat menyelamatkan kembali Pulau Batu Puteh tersebut?

“Saya rasa ianya tidak berlaku kerana akhirnya pulau tersebut tetap milik Singapura dan sebaiknya kita memberi tumpuan kepada apa pun pulau yang boleh negara kita selamatkan lagi daripada berbuat demikian,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2024

- Advertisement -