PSI rancang namakan anak Jokowi calon Gabenor Jakarta

Kaesang Pangarep. (FOTO: Pemilu - Tempo.co)
- Advertisement -

JAKARTA: Parti Solidariti Indonesia (PSI) merancang untuk menamakan ketua umumnya, Kaesang Pangarep yang merupakan anak bongsu Presiden Joko Widodo atau Jokowi, sebagai calon bagi pilihan raya gabenor Jakarta yang akan berlangsung November ini.

Pengerusi PSI bagi Dewan Perundangan Jakarta, William Aditya Sarana, berkata, sekiranya Kaesang memenuhi segala syarat yang diperlukan, sudah pasti dia akan dinamakan sebagai calon.  

- Advertisement -

“Salah satu faktor pemilihan Kaesang sebagai calon adalah disebabkan oleh selepas lima tahun pemerintahan Anies Baswedan sebagai gabenor, bandar itu memerlukan sebuah pemerintahan yang mengikut acuan Jokowi, yang pernah menjadi gabenor pada 2012 sebelum bertanding sebagai presiden pada 2014. 

“Kita semua ingat pada tahun 2012 di mana beliau bertanding sebagai gabenor, Jokowi telah menanamkan harapan yang tinggi kepada rakyat,” katanya, lapor The Jakarta Post.

Jokowi sebelum ini pernah berkhidmat sebagai gabenor Jakarta dari tahun 2012 sehingga 2014, dan kemudiannya diganti oleh wakilnya, Basuki Tjahaja Purnama (atau Ahok).

Ahok bagaimanapun tewas pada Pilihan Raya Gabenor 2016 kepada Anies Baswedan dan telah dipenjarakan disebabkan kenyataan berbaur perkauman yang dibuatnya sewaktu menjadi gabenor. 

Sebelum ini, Kaesang disebut-sebut bakal bertanding bagi jawatan Datuk Bandar Surakarta, Jawa Tengah bagi menggantikan abangnya, Gibran Rakabuming Raka yang bertanding sebagai wakil presiden kepada Prabowo Subianto bagi pilihan raya bulan lepas. 

Jika Kaesang tidak dapat dicalonkan, PSI bercadang untuk meletakkan bekas pembaca berita, Grace Natalie yang kini merupakan salah satu figura politik yang semakin dikenali di negara berkenaan dan merupakan salah seorang pengasas kepada PSI. – HARAKAHDAILY 29/3/2024

- Advertisement -